Skip to main content

Dunia

2 maut dalam serangan hendap ke atas anggota bomba di Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
2 maut dalam serangan hendap ke atas anggota bomba di Amerika

Beberapa pegawai menghadang jalan menuju ke kawasan di mana ramai anggota bomba diserang semasa memberi respons terhadap kebakaran di kawasan Gunung Canfield di luar Coeur d'Alene, Idaho, Amerika pada 29 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Young)

Diterbitkan : 30 Jun 2025 01:52PM Dikemas Kini : 30 Jun 2025 01:54PM
LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya dua maut pada Ahad (29 Jun) apabila anggota bomba yang menangani kebakaran diserang hendap oleh sebilangan lelaki bersenjata dalam pertempuran yang berterusan di wilayah Idaho di barat laut Amerika Syarikat, menurut sheriff tempatan.

Kebakaran masih marak di daerah Kootenai, sebuah taman dan kawasan mendaki yang popular, ketika penguatkuasaan undang-undang berbalas tembakan dengan suspek-suspek, kata Syerif Robert Norris kepada media.

Serangan itu dijalankan menggunakan senapang berkuasa tinggi, kata syerif itu, sambil menegaskan bahawa matlamat penguatkuasaan undang-undang adalah untuk mengesan suspek dan menembaknya apabila ditemui.

Suspek "tidak menunjukkan tanda-tanda mahu serah diri", sambungnya, sambil menambah: "Sebaik sahaja seseorang itu dapat sasaran yang jelas, saya menggalakkannya supaya lepaskan tembakan untuk kawal ancaman itu".

Beliau berkata pihak berkuasa percaya dua orang yang terbunuh ialah anggota bomba.

Encik Norris berkata pihak berkuasa tidak yakin suspek terkurung di dalam bangunan, tetapi sebaliknya menyamar seperti orang biasa.

Mereka "sangat bersedia", tambahnya, sambil berkata pihak berkuasa tidak tahu sama ada terdapat "satu, dua, tiga atau empat" suspek.

Timbalan pengarah FBI, Dan Bongino, menyifatkan insiden berkenaan sebagai "tempat jenayah aktif", sambil berkata biro itu mengerahkan kakitangan "untuk memberikan sokongan taktikal dan operasi".

Rakaman daripada saluran televisyen dan gambar yang diterbitkan oleh NBC menunjukkan asap putih tebal berkepul-kepul di atas kawasan berbukit dan berhutan.

Beliau memberitahu saluran televisyen tempatan KHQ bahawa tiada pemindahan diarahkan, walaupun api masih marak.

Beliau berkata beliau tidak tahu berapa ramai yang terkorban, tetapi mereka "semua anggota bomba".

Encik Norris dan pegawai lain memberitahu penduduk untuk terus berlindung di tempat itu.

Gabenor Idaho, Brad Little menyifatkan serangan itu sebagai "serangan kejam ke atas anggota bomba kami yang berani".

Menulis di media sosial Facebook, beliau berasa "amat bersedih" atas serangan itu.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita