Skip to main content

Dunia

2 maut dalam letupan disyaki serangan bom nekad di balai polis Bandung

Anggaran Waktu Membaca:
2 maut dalam letupan disyaki serangan bom nekad di balai polis Bandung

Seorang pegawai polis mengawal jalan menuju ke balai polis, di mana sebuah letupan, yang dipercayai serangan pengebom nekad berlaku di Bandung, Jawa Barat, Indonesia, Rabu, 7 Dis 2022. (Gambar: AP/Ahmad Fauzan)

Diterbitkan : 07 Dec 2022 11:52AM Dikemas Kini : 07 Dec 2022 03:21PM
JAKARTA: Satu letupan yang dipercayai serangan pengebom nekad berlaku di balai polis Astana Anyar di Bandung, Indonesia, sekitar 8.20 pagi waktu tempatan pada Rabu (7 Dis).

Balai polis tersebut terletak di kawasan pusat ibu kota wilayah Jawa Barat itu.

Menurut seorang jurucakap bagi polis Barat Jawa, Ibrahim Tompo, serangan itu meragut nyawa dua orang - penyerang yang disyaki dan seorang anggota polis - serta mencederakan lagi lapan mangsa, termasuk anggota polis lain dan satu orang awam.

Menurut pihak berkuasa, suspek membawa sebilah pisau dan meletupkan dirinya sejurus selepas memasuki balai polis berkenaan di kota Bandung.

Ketua biro maklumat awam bagi Polis Negara Republik Indonesia, Ahmad Ramadhan, berkata polis Bandung sedang menyelaras dengan unit bertindak balas terhadap keganasan untuk menjalankan siasatan.

Ibnu Suhendra dari Badan Nasional Penanggulangan Terorisme Indonesia (BNPT) memberitahu Metro TV bahawa kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) berkemungkinan dalang di sebalik serangan itu. Beliau berkata JAD pernah melancarkan serangan-serangan serupa di Indonesia.

Rakaman video yang tersebar menunjukkan orang ramai kelihatan cemas sambil berlari bertempiaran dari lokasi kejadian. Bunyi letupan yang serupa dengan bunyi ledakan bom boleh kedengaran menerusi video tersebut.

Metro TV melaporkan motif serangan itu masih disiasat.

"Sekarang ini, ketua polis Bandung sudah tiba di tempat kejadian dan pasukan skuad bomb sedang dalam perjalanan," jurucakap polis Jawa Barat, Ibrahim Tompo, memberitahu Metro TV.

Sementara itu, Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, yang melawat tempat kejadian, berkata para penduduk tidak perlu cemas kerana keadaan keselamatan di kawasan itu sudah terkawal.
Sumber : Agensi berita/MU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita