Skip to main content

Dunia

2 maut dalam insiden berbalas tembakan di Narathiwat

Dua lelaki dipercayai anggota militan maut dalam insiden berbalas tembakan di Rangae, Narathiwat, selatan Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:

NARATHIWAT: Dua lelaki dipercayai anggota militan maut dalam insiden berbalas tembakan di Rangae, Narathiwat, selatan Thailand.

Dalam insiden itu, seorang renjer turut mengalami kecederaan.

Ketua Renjer Ke-45 Kol. Thawirat Benjatikul berkata pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah di daerah Rangae, Narathiwat sejak pukul 2.00 petang (waktu tempatan) Jumaat (28 Jan) selepas menerima maklumat dua lelaki dipercayai anggota militan bersembunyi dalam rumah itu.

“Pasukan keselamatan menasihatkan kedua-dua lelaki itu menyerah diri namun mereka enggan dan terus melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan. Ibu bapa seorang daripada suspek cuba memujuk kedua-dua lelaki itu menyerah diri namun gagal.  

“Pasukan keselamatan kemudiannya menemui satu mayat dalam rumah dan satu lagi di perkarangan rumah. Selain itu, tiga laras senjata api dipercayai milik suspek turut ditemui,” katanya pada satu sidang media pada Sabtu (29 Jan).

Pada 20 Januari lalu, dua lelaki dipercayai anggota militan maut dalam insiden berbalas tembakan di Sai Buri, Pattani.

Sementara itu di Yala, sekurang-kurang 17 letupan bom menggegarkan bandar Yala pada Jumaat (28 Jan) menyebabkan seorang penduduk mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4 Pol Kol Kiattisak Neewong berkata kejadian bermula kira-kira 9.10 malam (waktu tempatan), sebanyak 17 letupan bom berlaku di 20 kawasan di Pekan Yala.  

Beliau berkata seorang lelaki berusia 60 tahun mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu.

“Skuad pemusnah bom turut mengesan beberapa butir bom lagi yang masih aktif dan ia berjaya dimusnahkan hari ini,” katanya pada satu sidang media di Pattani pada Sabtu

Beliau berkata bom buatan sendiri seberat 400 hingga 500 gram dipasang dan diaktifkan dengan jangka masa.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita