2 maut apabila kereta rempuh pintu masuk lapangan terbang Filipina
Dua individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terbunuh selepas sebuah kereta merempuh pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, Filipina pada Ahad (4 Mei).
Kenderaan yang merempuh pintu masuk Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Bandar Paranaque, Metro Manila, Filipina, ditunda pada 4 Mei 2025. (Gambar: Reuters/Lisa Marie David)
Menurut Palang Merah Filipina, beberapa lagi orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Lapangan terbang itu menyatakan "satu kemalangan melibatkan kenderaan" berlaku pada Ahad apabila sebuah kereta merempuh pagar luar dan laluan pejalan kaki berhampiran pintu masuk Terminal 1 lapangan terbang tersebut.
"Kami memahami kebimbangan yang dicetuskan oleh kejadian itu, terutama sekali kerana imej-imej kejadian disebarkan di media sosial.
"Kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan tunggu bagi kemas kini disahkan, yang akan diterbitkan sebaik sahaja ia siap," menurut pihak lapangan terbang itu dalam satu kenyataan.
Palang Merah Filipina yang dikerahkan ke tempat kejadian, berkata kemalangan itu menyebabkan kematian dua individu iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Gambar-gambar yang disebarkan di media sosial menunjukkan beberapa orang terbaring di atas lantai.
Terdapat serpihan kaca pecah di pintu depan lapangan terbang itu dan bahagian depan sebuah kereta SUV berwarna hitam kelihatan dalam keadaan rosak teruk selepas ia melanggar pintu lapangan terbang itu.
Pihak lapangan terbang itu menyatakan mangsa yang mengalami kecederaan sedang dirawat manakala pemandu kenderaan itu kini dalam tahanan polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.