2 mati ditikam di Pusat Ismailiah di Lisbon
(Gambar: EPA)
LISBON: Dua maut ditikam di sebuah pusat Islam di Lisbon, ibu kota Portugal, menurut polis.
Serangan itu berlaku di Pusat Ismailiah di Avenida Lusíada, lapor BBC.
Suspek yang bersenjatakan pisau panjang, ditembak di bahagian kakinya oleh polis.
Dia kemudian ditahan dan dibawa ke hospital.
Motif serangan itu bagaimanapun tidak diketahui.
Menurut BBC, polis menerima panggilan pada sekitar pukul 11.00 pagi waktu tempatan setelah suspek memasuki pusat tersebut.
Para pegawai mengarahkan lelaki itu menyerah diri, tetapi suspek tidak mematuhi dan terpaksa ditembak.
Ketua masyarakat Ismailiah, Nazim Ahmad, semasa ditemui saluran berita SIC Notícias, berkata, penyerang itu adalah seorang warga Afghanistan manakala dua mangsa itu pula wanita tempatan.
Satu kenyataan di laman web Pusat Ismailiah menyatakan, masyarakat itu "terkejut dan berdukacita menyusuli insiden tersebut dan sedang menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa".
"Pekarangan bangunan itu dikawal dan masyarakat Ismaili bekerjasama penuh dengan siasatan polis," menurutnya lagi.
Perdana Menteri Antonio Casta berkata, kejadian itu merupakan satu insiden terpencil" dan terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang motif.
Polis menggesa orang awam supaya menjauhi kawasan dekat dengan Pusat Ismailiah itu pada Selasa (28 Mac).
Seorang pekerja di pusat itu memberitahu portal berita Sapo: "Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Polis kini berada di dalam pusat untuk siasatan."
Ismailiah tergolong dalam cabang Islam Syiah dengn sebilangan pengikutnya mengiktiraf Putera Karim Aga Khan sebagai imam mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.