2 lelaki Indonesia mengaku tidak bersalah perdagang senjata api di Malaysia
Dua lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen hari ini (12 Feb) atas pertuduhan memperdagangkan senjata api, bulan lalu.

Zulkarnaini A. Rahman, 44 tahun, dan Husaini, 22 tahun, didakwa secara bersama-sama memperdagangkan empat pucuk pistol dan selaras senapang M4 di Perairan Laut Perai pada 27 Januari. (Gambar: Bernama)
Pengakuan itu dibuat oleh Zulkarnaini A. Rahman, 44 tahun, dan Husaini, 22 tahun, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Indonesia oleh jurubahasa.
Mereka berdua didakwa secara bersama-sama memperdagangkan empat pucuk pistol dan selaras senapang M4 di Perairan Laut Perai, Daerah Seberang Perai Tengah pada 27 Januari, jam 3:10 petang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Zulkarnaini juga mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan pada Isnin, 14 April, oleh Hakim Nor Azah Kasran.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal. Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam Nur Ashiqeen Mohd Sultan.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban menahan empat lelaki termasuk dua warga Indonesia serta merampas lima pucuk pistol, selaras senapang M4 dan 801 butir peluru, dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai pada 27 Januari.
Menurut Hamzah, empat individu yang bekerja sebagai nelayan itu merupakan ahli sindiket penyeludupan senjata api antarabangsa.
Ia juga dipercayai bahawa ini adalah kali pertama mereka menjalankan kegiatan jual beli senjata api itu di Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.