Skip to main content

Dunia

2 lelaki bantu siasatan polis berikutan pertikaian di cawangan Cheers Lau Pa Sat

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki bantu siasatan polis berikutan pertikaian di cawangan Cheers Lau Pa Sat

Insiden tersebut berlaku di sebuah cawangan Cheers di Lau Pa Sat pada Tahun Baru. (Gambar: TikTok/confederateginger)

SINGAPURA: Dua lelaki sedang membantu dalam siasatan polis menyusuli satu pertikaian yang berlaku di sebuah cawangan Cheers di Lau Pa Sat pada Tahun Baru.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis pada Selasa (3 Jan) menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut di 18 Raffles Quay pada pukul 8.05 malam.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa komen berhubung kaum dan kerakyatan, serta ancaman lisan, didakwa dihamburkan antara satu sama lain sebelum ketibaan pihak polis," menurut polis.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berikutan insiden tersebut.

Dua lelaki, berusia 29 dan 64 tahun, sedang membantu dalam siasatan polis, yang masih dijalankan.

Seorang jurucakap FairPrice memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya maklum mengenai insiden tersebut yang berlaku di cawangan kedai, yang terletak di Lau Pa Sat.

Menurut jurucakap tersebut, kesemua kakitangan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.

Tambahnya lagi, "Kami tidak dapat mengulas lanjut kerana perkara itu sedang dalam siasatan polis. Kami memohon maaf atas keprihatinan yang tercetus dalam kalangan orang awam menyusuli insiden ini."

Lima video dimuat naik di platform sosial media TikTok oleh seorang pengguna dengan nama akaun confederateginger. Video tersebut menunjukkan pengguna itu, yang mengenal pasti dirinya sebagai Jonathan di profilnya, merakam perbualan dengan tiga anggota polis tersebut.

Dalam rakaman tersebut, seorang anggota polis didapati memintanya untuk menyerahkan kad pengenalan. Jonathan bagaimanapun enggan berbuat demikian lalu bertanya kepada pegawai-pegawai tersebut sebab dia diperlukan untuk menunjukkan kad pengenalannya itu.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita