Skip to main content

Dunia

2 kumpulan penyokong bola sepak merusuh di stesen LRT Kuala Lumpur

Dua kumpulan penyokong bola sepak merusuh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, tengah malam tadi (21 Dis) menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu cermin tren serta mengakibatkan perkhidmatan itu terhenti sekitar lapan minit, lapor BH Online.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kumpulan penyokong bola sepak merusuh di stesen LRT Kuala Lumpur
Diterbitkan : 21 Dec 2024 04:35PM Dikemas Kini : 21 Dec 2024 04:46PM
KUALA LUMPUR: Dua kumpulan penyokong bola sepak merusuh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, tengah malam tadi (21 Dis) menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu cermin tren serta mengakibatkan perkhidmatan itu terhenti sekitar lapan minit, lapor BH Online.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata kejadian itu berlaku pada pukul 12.03 tengah malam ketika pengadu sedang menaiki tren dari Stesen LRT Bukit Jalil menghala ke Sentul Timur.

Aduan berhubung insiden itu diterima daripada seorang anggota polis bantuan pada pukul 3.40 pagi tadi.

"Apabila tren tiba di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, sekumpulan penyokong keluar dari tren dan berlaku pertengkaran dengan sekumpulan penyokong lain sebelum bergaduh.
"Kemudian dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.

"Perbuatan itu mengakibatkan berlaku kerosakan pada bahagian pintu cermin tren serta menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit," katanya dalam kenyataan, seperti dinukil BH Online.

Menurutnya lagi, pengadu bersama beberapa anggota polis bantuan bertugas di stesen tersebut meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan itu dan keadaan terkawal setelah pintu tren ditutup.

"Tren terus beredar dari tempat kejadian, pengadu serta rakan setugas polis bantuan mengiring penyokong tersebut keluar dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan dengan selamat.

"Polis masih meneruskan siasatan termasuk pengesan pelaku. Kita juga minta saksi kejadian tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya, seperti dipetik BH Online.

Perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 antara pasukan Malaysia dengan Singapura berlangsung pada Jumaat malam (20 Dis) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan, sekali gus menyebabkan pasukan Malaysia gagal menempah tiket ke perlawanan separuh akhir dan menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketiga.

Pasukan Singapura bagaimanapun mara ke separuh akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita