2 kereta bertembung, 5 maut
Lima mangsa daripada dua keluarga maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung di kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Sungai Ruan di Raub pada Sabtu (4 Mei).
(Gambar: BERNAMA)
KUANTAN: Lima mangsa daripada dua keluarga maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung di kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Sungai Ruan di Raub pada Sabtu (4 Mei).
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian pada 2.45 pagi itu juga menyebabkan tiga lagi mangsa cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Beliau berkata mereka yang maut ialah Hasliza Arini Muhamad Hamid, 34 tahun, dan anak bongsunya, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, berumur dua tahun.
Keluarga itu berasal dari Kampung Kelaburan di Tumpat, Kelantan.
Turut maut ialah Nasrul Fakhri Mansor, 38 tahun, dan dua anggota keluarganya iaitu seorang wanita dewasa serta bayi berusia sekitar setahun. Identiti mereka, bagaimanapun, masih belum dapat dikenal pasti.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Nasrul Fakhri yang memandu kereta Perodua Kancil dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur dipercayai mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan.
"Kereta itu bertembung dengan kereta Perodua Myvi, yang dinaiki lima beranak yang dipercayai mahu ke Kelantan, selepas pemandunya gagal mengelak ekoran jarak yang terlalu dekat," kata Encik Wan Mohd Zahari.
Beliau menambah mangsa yang cedera parah ialah suami Hasliza Arini, Mohd Syaril Sulaiman, 44 tahun, dan dua anak pasangan itu - Khaliesah Khairina, tujuh tahun, dan Dhia Afriena, lima tahun.
Menurut beliau lagi, polis sedang mengesahkan identiti dua lagi mangsa yang belum dikenal pasti kerana tiada kad pengenalan dijumpai di tempat kejadian.
Jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.