Skip to main content

Dunia

2 kebimbangan tentang M'sia ialah kestabilan politik dan rasuah, tegas Duta Besar ke AS

Anggaran Waktu Membaca:
2 kebimbangan tentang M'sia  ialah kestabilan politik dan rasuah, tegas Duta Besar ke AS

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 15 May 2023 03:49PM
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Mohamed Nazri Abdul Aziz mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk bersama membantu usaha kerajaan melawan rasuah.

Encik Mohamed Nazri menjelaskan usaha melawan rasuah yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sewajarnya disokong kerana sebuah negara yang mempunyai kadar rasuah yang tinggi sukar mendapat pelaburan dari luar, lapor Astro Awani.

“Dua hari lepas saya telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Perniagaan Memphis tentang peluang-peluang pelaburan yang ada di Malaysia."

“Mereka menyatakan dua kebimbangan tentang Malaysia ketika ini iaitu kestabilan politik dan juga rasuah."

“Jadi amat jelas bahawa jika kita mahu menarik pelabur masuk ke dalam negara, kita perlu kekalkan kestabilan dan perangi rasuah habis-habisan,” katanya kepada Astro Awani.

Baru-baru ini EMIR Research mendedahkan Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion (S$1.3 trilion) dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Mengulas lanjut, Encik Mohamed Nazri menjelaskan suatu masa dahulu, mereka yang melakukan rasuah akan berasa malu dan tidak sanggup bertemu orang ramai.

“Perkara itu tidak lagi berlaku sekarang, malah ada yang tanpa segan silu bercakap seolah-oleh tidak melakukan sebarang kesalahan."

“Pada tahun 1960 dahulu, ada orang kampung saya yang didapati bersalah kerana menerima rasuah sebanyak RM200 (S$59), dia tinggalkan kampung kerana malu dengan perkara tersebut."

“Kalau sekarang ambil atau beri rasuah sudah jadi semacam satu amalan yang telah dimurnikan dengan berbagai istilah,” katanya lagi seperti dipetik laporan Astro Awani.

Encik Mohamed Nazri juga menegaskan perbualan bahawa sekiranya kerajaan tegas melawan rasuah, maka akan ada pihak yang berusaha membeli Ahli Parlimen untuk menjatuhkan pentadbiran sedia ada tidak perlu dilayan.

“Mereka yang berusaha membeli Ahli Parlimen inilah yang menyebabkan rasuah makin meningkat dalam negara kita."

“Apa yang mereka lakukan adalah menyumbang kepada ketidakstabilan dalam negara seterusnya membuatkan pelabur sedia ada akan bawa pelaburan keluar manakala pelabur yang ada hasrat melabur di negara kita akan membatalkannya,” katanya.

Beliau menjelaskan adalah sangat penting untuk seluruh masyarakat bersama dengan perdana menteri melawan rasuah yang kini sudah menjadi barah.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita