Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 juruterbang JAL digantung tugas kerana bohong minum arak

Anggaran Waktu Membaca:
2 juruterbang JAL digantung tugas kerana bohong minum arak

Gambar ini diambil pada 24 Ogos 2024 yang menunjukkan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner Japan Airlines (JAL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo di Haneda. (Gambar fail: AFP/Richard A. Brooks)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 11:05PM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 11:18PM
TOKYO: Dua bekas juruterbang Japan Airlines (JAL) digantung tugas oleh Kementerian Pengangkutan Jepun pada Selasa (4 Feb) kerana meminum arak sebelum melakukan penerbangan dan berbohong kepada bekas majikan mereka.

Kementerian itu turut mendedahkan bahawa kedua-dua bekas kapten itu "meminum arak melebihi had yang dibenarkan, walaupun mereka sedia maklum tentang peraturan" yang mengehadkan jumlah arak yang diambil 12 jam sebelum melakukan penerbangan yang dijadualkan.

Kedua-dua lelaki itu "memberi penjelasan palsu kepada majikan mereka dan cuba menutup kesalahan mereka", menurut kementerian itu, yang menggantung tugas mereka sehingga tujuh bulan.

Mereka berdua dipecat oleh JAL selepas penerbangan dari Melbourne ke Tokyo pada Disember tertangguh selama tiga jam selepas paras alkohol yang melebihi had dibenarkan dikesan dalam tubuh mereka.

JAL menyatakan pada bulan lalu bahawa dua eksekutif paling kanannya akan dipotong gaji 30 peratus selama dua bulan atas insiden itu.

Kementerian Pengangkutan Jepun mengarahkan JAL untuk mengambil langkah pencegahan pada tahun lalu selepas penerbangan dari Dallas ke Tokyo dibatalkan kerana seorang juruterbang telah menimbulkan gangguan selepas mabuk di sebuah hotel.

Jepun memperkenalkan peraturan baharu pada 2019 untuk mencegah peminuman arak oleh juruterbang selepas beberapa insiden sedemikian menarik perhatian ramai.

All Nippon Airways menangguhkan penerbangan domestik pada tahun itu selepas pembantu juruterbang gagal ujian alkohol.

Pada 2018, pembantu juruterbang JAL telah diberkas di Britain sejurus sebelum melakukan penerbangan setelah paras alkohol dalam tubuhnya melebihi hampir 10 kali ganda paras yang dibenarkan.
Sumber : AFP/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan