2 harimau Sumatera beransur pulih daripada jangkitan COVID-19
Pihak berkuasa Jakarta sedang siasat bagaimana dua harimau diancam kepupusan itu boleh dijangkiti walhal taman haiwan tersebut ditutup dan semua kakitangannya negatif COVID-19.
Gambar bertarikh 31 Jul 2021 menunjukkan harimau Sumatera di taman haiwan Ragunan di Jakarta, Indonesia yang dijangkiti COVID-19 (Dadang Kusuma WS/Pemerintah Provinsi Jakarta via AP)
JAKARTA: Dua harimau Sumatera yang diancam kepupusan di sebuah taman haiwan di ibu kota Indonesia kini sedang beransur pulih setelah dijangkiti COVID-19.
Tino, harimau berusia sembilan tahun, jatuh sakit dengan gejala sesak nafas, bersin-bersin dan selesema pada 9 Julai. Haiwan itu juga mula hilang selera makan.
Dua hari kemudian, Hari yang berusia 12 tahun, pula menunjukkan gejala yang sama.
Ujian swab dijalankan dan kembali positif COVID-19, kata Suzi Marsitawati dari Dinas Pertamanan dan Hutan Kota Jakarta dalam satu kenyataan pada Ahad (1 Ogos).
Harimau-harimau tersebut segera dirawat dengan antibiotik, antihistamin, ubat anti keradangan dan multivitamin. Kedua-dua haiwan itu beransur pulih setelah 10 hingga 12 hari dan kini sudah sihat di bawah pengawasan Taman Haiwan Ragunan di Jakarta.
"Keadaan haiwan-haiwan itu baik sekarang. Selera makan sudah kembali dan harimau-harimau itu kini aktif,” tambah Cik Marsitawati.
Harimau Sumatera adalah jenis harimau yang paling terancam akibat habitat hutannya yang semakin mengecil.
Cik Marsitawati berkata pemerintah Jakarta sedang menyiasat bagaimana harimau itu dijangkiti, kerana taman haiwan tersebut telah ditutup sebagai sebahagian daripada sekatan koronavirus. Tiada jangkitan dalam kalangan penjaga dan kakitangan taman haiwan itu, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.