Skip to main content

Dunia

2 ditikam di Amsterdam; disyaki serangan pengganas

Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau pada Jumaat (31 Ogos) menikam dua orang di Stesen Tengah Amsterdam sebelum ditembak oleh polis dalam satu insiden yang disyaki serangan pengganas, menurut pihak polis Belanda.

Anggaran Waktu Membaca:
2 ditikam di Amsterdam; disyaki serangan pengganas

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Sep 2018 04:17PM Dikemas Kini : 01 Sep 2018 04:18PM

AMSTERDAM: Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau pada Jumaat (31 Ogos) menikam dua orang di Stesen Tengah Amsterdam sebelum ditembak oleh polis dalam satu insiden yang disyaki serangan pengganas, menurut pihak polis Belanda.

Pada lewat petang semalam, penyerang itu dikenal pasti sebagai seorang rakyat Afghanistan berusia 19 tahun yang memegang permit penduduk Jerman.

"Kami memandang serius serangan ini kerana ia bermotif pengganas," kata jurucakap polis Amsterdam, Frans Zuiderhoek kepada AFP.

Menurut para saksi, keadaan menjadi cemas apabila tembakan mula kedengaran, sedang beribu-ribu penumpang dan pelancong dipindahkan dari terminal kereta api berkenaan sejurus selepas tengah hari.

"Kedua-dua mangsa cedera parah, dan mereka dikejarkan ke hospital," kata seorang lagi jurucakap polis Rob van der Veen, merujuk kepada dua mangsa tikaman.

"Kami sedang meneliti semua senario, termasuk senario paling dahsyat iaitu pengganasan."

Gambar-gambar yang dimuat naik ke laman media sosial menunjukkan para pengawal keselamatan menggesa para penumpang supaya turun dari kereta api tersebut, sedang pasukan paramedik tiba di tempat kejadian membawa pengusung.

Jurucakap polis Zuiderhoek berkata keadaan penyerang itu, yang ditembak di bahagian bawah badan, tidak mengancam nyawanya.

"Buat masa ini, dia sedang ditahan polis di hospital. Dia sedang disoal siasat mengenai motifnya," tambah Zuiderhoek.

Polis Belanda juga sedang berhubungan dengan rakan sejawatan mereka di Jerman mengenai latar belakang suspek, katanya.

LANDASAN DITUTUP

Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian berkata polis sudah mengepung sebuah kawasan di dalam stesen itu sejurus selepas insiden tersebut dan mengarahkan orang ramai supaya meninggalkan stesen berkenaan.

"Sebahagian besar penumpang, termasuk pelancong asing," menunggu dengan sabar di luar stesen, kata wartawan itu sambil menambah bahawa "ramai anggota polis dikerahkan" ke tempat kejadian.

Kedua-dua platform yang dikepung itu dibuka semula dua jam kemudian, kata polis.

Jabatan polis khas turut melancarkan siasatan bagi menyiasat mengapa pihak polis menembak lelaki tersebut.

Belanda setakat ini terselamat daripada serangan-serangan pengganas yang sudah menggemparkan negara-negara jiran di Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun di tengah-tengah kebimbangan dan laporan yang mendakwa bahawa dalang-dalang yang dikaitkan dengan serangan-serangan itu mungkin sudah memasuki negara itu, dengan pegawai kanan keselamatan dan risikan Belanda menegaskan bahawa tahap ancaman kini semakin meningkat.

Sekitar 250,000 orang menggunakan stesen kereta api berkenaan setiap hari, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh panduan perjalanan Amsterdam.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita