Skip to main content

Dunia

2 cerun di Melaka lokasi kritikal tanah runtuh; dipantau susuli amaran hujan tahap bahaya

Anggaran Waktu Membaca:
2 cerun di Melaka lokasi kritikal tanah runtuh; dipantau susuli amaran hujan tahap bahaya

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Mar 2023 04:37PM

MELAKA: Dua daripada 179 kawasan cerun di Melaka dikategorikan lokasi kritikal dan berisiko berlaku tanah runtuh sekiranya hujan lebat berlaku dalam tempoh yang lama, iaitu Ayer Keroh di Melaka Tengah dan Tebong di Alor Gajah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Melaka Abu Bakar Katain berkata lokasi berkenaan adalah antara kawasan-kawasan bencana yang dipantau pihaknya menyusuli amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di empat negeri termasuk Melaka sehingga Khamis (2 Mac) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa (28 Feb). 

"Kita sentiasa dalam ‘mod berwaspada’ sepanjang tempoh amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi dan kesiapsiagaan itu meliputi pelbagai aspek seperti logistik serta sumber manusia melibatkan 500 anggota bomba di negeri ini agar dapat memberi respons pantas terhadap setiap bencana dilaporkan.

"Melihat keadaan hujan yang berlaku bermula semalam, berkemungkinan air pasang besar boleh berlaku tetapi setakat ini keadaan masih terkawal, tiada pusat pemindahan sementara dibuka atau banjir teruk dilaporkan berlaku," katanya kepada para pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Tahun 2023 pada Rabu (1 Mac). 

Beliau berkata selain itu, sebanyak 124 lokasi berisiko banjir dikenal pasti iaitu 59 kawasan di Melaka Tengah, Jasin (42 lokasi) dan Alor Gajah (23 lokasi) manakala Asahan, Jasin direkodkan sebagai kawasan berisiko berlaku kepala air.

Katanya lagi, semua anggota di 11 balai bomba di negeri itu diarah untuk membuat rondaan di kawasan masing-masing dari semasa ke semasa dan melaporkan kepada pihaknya berkenaan situasi yang berlaku.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita