2 cedera, lebih 10 rumah rosak akibat letupan Kompleks Bersepadu Pengerang
Lebih 10 rumah di Kampung Lepau dekat Pengerang di Johor mengalami kerosakan pada bahagian siling dan dinding, dipercayai akibat insiden letupan serta kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada awal pagi Jumaat (12 Apr).
Lebih 10 rumah di Kampung Lepau dekat Pengerang di Johor mengalami kerosakan akibat insiden letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang. (Gambar: Bernama)
KOTA TINGGI: Lebih 10 rumah di Kampung Lepau dekat Pengerang di Johor mengalami kerosakan pada bahagian siling dan dinding, dipercayai akibat insiden letupan serta kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada awal pagi Jumaat (12 Apr).
Abd Rahim Sanusi, 85 tahun, yang tinggal bersama dua anak serta dua cucu, berkata ketika insiden itu berlaku, beliau sedang tidur dan terjaga bila terdengar bunyi dentuman.
"Saya baru lepas bedah jantung, terperanjat. Bila terperanjat, saya urut dada saya, baru lega sikit. Bila keluar dari bilik, nampak banyak siling di rumah saya jatuh," kata warga emas itu kepada agensi berita Bernama ketika ditemui hari ini (12 Apr).
Selain daripada beberapa siling yang jatuh, beberapa kesan retakan turut dilihat di rumahnya.
Seorang lagi penduduk kampung, Abdul Halim Mahmood, 52 tahun, berkata pada kira-kira 1.30 pagi, beliau mahu berehat sebelum terdengar satu bunyi yang kuat seperti bom meletup.
"Saya dengar bunyi kaca pecah, jadi saya meninjau di luar dan dapati pintu saya pecah selepas bunyi yang kuat itu,” katanya, yang turut mendapati beberapa retakan pada dinding rumahnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Zainal Abidin Abd Rahim berkata ketika kejadian itu, beliau berada di luar kampung dan merasa sendiri gegaran letupan berkenaan, sebelum mendapat panggilan daripada orang kampung sendiri untuk memaklumkan mengenai perkara itu.
"Tidak lama selepas kejadian, saya menghubungi wakil Petronas untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Pihak Petronas minta saya buat bancian setiap rumah untuk mengenal pasti jenis-jenis kerosakan serta minta penduduk terjejas untuk buat aduan polis," kata beliau.
Encik Zainal Abidin juga meminta penduduk kampung itu supaya jangan bimbang dan memaklumkan kepadanya mengenai kerosakan di rumah mereka.
Sehingga pukul 10.00 pagi tadi (12 Apr), difahamkan lebih 10 aduan polis sudah dibuat.
Kampung Lepau, yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kompleks Bersepadu Pengerang, mempunyai 67 buah rumah dan lebih 100 penduduk.
Menurut Petronas dalam satu kenyataan, insiden kebakaran dan letupan yang berlaku pada pukul 1.25 pagi itu berjaya dikawal setengah jam kemudian.
Insiden berkenaan turut mencederakan dua lelaki rakyat tempatan, yang merupakan pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan.
LAPORAN BERKAITAN:
Petronas sahkan kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.