Skip to main content

Dunia

2 calon gabenor Jakarta dikecam atas catatan seksis, rendahkan martabat wanita

Anggaran Waktu Membaca:
2 calon gabenor Jakarta dikecam atas catatan seksis, rendahkan martabat wanita

Mantan gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil (kiri), dan Setiausaha Kabinet Pramono Anung (kanan) (Gambar: AFP/Aditya IRAWAN, Facebook/Ridwan Kamil)

JAKARTA: Dua calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya bagi jawatan gabenor Jakarta dikutuk disebabkan catatan dimuat naik di platform media sosial Twitter, pada masa lalu, yang dianggap seksis dan merendahkan martabat wanita.

Sejurus selepas calon, mantan gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil dan Setiausaha Kabinet Pramono Anung, didaftar minggu ini bagi Pilihan Raya Kepala Daerah yang dijadualkan pada November, warga net mula membongkar dan berkongsi catatan lama mereka. Sebahagian daripada catatan tersebut sudah dihapuskan.

Pada Oktober 2010, Encik Pramono memuat naik catatan bahawa beliau berharap untuk mengelak "pamer susu montok", frasa yang merujuk kepada wanita mendedahkan bahagian dadanya. Namun ia juga merupakan singkatan kepada “padat merayap susul menyusul mobil rontok”, yang merujuk kepada kesesakan trafik.

"#justrelax ah," tambah Encik Pramono dalam catatan tersebut.

Pada tahun seterusnya, beliau memuat naik satu lagi catatan mengenai wanita yang berpakaian seksi.

Encik Pramono adalah calon gabenor Jakarta parti terbesar Indonesia, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Beliau akan berdepan Encik Ridwan, yang disokong pakatan olej 15 parti politik, termasuk parti bakal presiden Prabowo Subianto, Gerindra.

Mereka akan bersaing dengan calon bebas Dharma Pongrekun untuk jawatan yang diidamkan ramai, yang dilihat sebagai batu loncatan kepada jawatan presiden Indonesia.

Encik Ridwan juga dikecam atas catatannya yang tidak wajar pada masa lalu.

Beliau memuat naik dua catatan serupa dengan Encik Pramono pada 2010, ketika berdepan kesesakan trafik di Jakarta. Encik Ridwan juga memuat naik catatan mengenai perbuatan pelajar lelaki yang mengintai bawah skirt rakan sekolah perempuan menggunakan cermin.

Warga net menyebarkan tangkapan skrin catatan mereka dan mengutuk kedua-dua individu.

Encik Pramono, yang kelihatan seperti tidak menyesal atas catatannya, menjawab kecaman tersebut dengan mengatakan bahawa pada 2010, ramai orang menggunakan Twitter untuk memuat naik catatan berunsur jenaka.

Menurut media tempatan Kompas, Encik Pramono berkata pada Rabu (28 Ogos), "Saya menggunakan #justrelax dan ia merupakan catatan berunsur jenaka, dan saya pasti generasi tersebut melakukan perkara serupa. Jadi itulah yang berlaku pada waktu itu."

"Adakah saya menyesal? Tidak, kerana saya tidak menghina, merendahkan sesiapa," kata Encik Pramono, yang juga Setiausaha Kabinet dalam pemerintah Presiden Indonesia Joko Widodo.

Encik Ridwan menzahirkan rasa kesal atas catatannya yang lalu dan menyeru warga net untuk melupakannya.

Catatan tersebut dimuat naik sebelum beliau menjadi pegawai awam dan platform itu digunakannya secara bebas, tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita