Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 beradik curi van jenazah untuk lunas hutang 'along'; dipenjara 6 bulan di Klang

Anggaran Waktu Membaca:
2 beradik curi van jenazah untuk lunas hutang 'along'; dipenjara 6 bulan di Klang

(Gambar: Agensi Berita)

Diterbitkan : 28 Jan 2025 05:06PM Dikemas Kini : 28 Jan 2025 05:07PM
KLANG, Malaysia: Terdesak untuk melunaskan hutang 'along' RM30,000 (S$9,230), dua beradik yang mengaku salah menyimpan van jenazah yang dicuri dari sebuah masjid di Klang Sabtu lalu (25 Jan), dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Hamid Rizan, 27 tahun, dan adiknya, Faizal Rizan, 23 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan itu, lapor media BH Online.

Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara bermula tarikh tangkap pada 25 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan pilihan, dua lelaki itu didakwa secara bersama-sama menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenazah jenis Toyota Hiace bernilai RM30,000 milik sebuah masjid di Kampung Telok Gong, dekat Pelabuhan Klang yang dilaporkan hilang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di surau sebuah pangsapuri di Iskandar Puteri, Johor sekitar pukul 1.05 pagi, 25 Januari lalu, seperti dinukil dari BH Online.

Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu seorang lelaki berusia 32 tahun membuat aduan polis berhubung kecurian van jenazah di masjid terbabit antara pukul 2.30 petang, 17 Januari lalu hingga pukul 7.45 petang, 21 Januari lalu dengan anggaran kerugian sebanyak RM30,000.

Pada Ahad lalu sekitar pukul 1.05 pagi, seorang saksi menahan kedua-dua tertuduh yang berasal dari Sabah di hadapan sebuah surau di Johor bersama van dengan nombor pendaftaran palsu, lapor BH Online.

Semakan mendapati nombor pendaftaran asal kenderaan yang dinaiki kedua-dua tertuduh adalah milik van jenazah yang dilaporkan hilang di masjid dekat Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang.

Awal dari itu, peguam Mark Jeyakumar yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannya berkata anak guamnya melakukan kesalahan itu berikutan terdesak apabila sekumpulan individu pemiutang wang tidak berlesen kerap mengganggu mereka.

Kedua-dua tertuduh melakukan pinjaman itu kerana terdesak untuk menanggung isteri dan anak masing-masing selain dua lagi adik mereka berusia 17 dan 14 tahun.

"Mereka dijanjikan mendapat bayaran berjumlah RM30,000 dengan melakukan kesalahan mencuri itu.

"Pemiutang wang tidak berlesen ini kerap mengganggu empat beradik ini. Mereka terdesak," katanya.

Justeru, Encik Jeyakumar memohon supaya mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik ke atas kedua-dua tertuduh, bagaimanapun sekiranya mahkamah berpendapat perintah itu tidak bersesuaian merayu supaya anak-anak guamnya itu dikenakan hukuman penjara minimum.

"Kedua-dua tertuduh bekerja di gudang sebuah platform e-dagang. Abdul Hamid menanggung isteri yang juga suri rumah dan tiga anak, manakala Faizal mempunyai seorang isteri namun tiada cahaya mata.

"Ibu bapa kedua-dua tertuduh ini sudah meninggal dunia. Anak guam memohon maaf atas kejadian ini dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak memohon supaya kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

"Mohon mahkamah mengambil kira harta curi itu adalah kenderaan yang digunakan bagi kemudahan awam untuk pengurusan jenazah.

"Selain itu mohon barang kes (van jenazah) diserahkan semula kepada pemilik asal," katanya.

Selepas menjatuhkan hukuman itu, Majistret Amirul Asyraf mengarahkan supaya barang kes dikembalikan kepada pemilik asalnya.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan