Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 bangkai penyu ditemui di pantai Terengganu; dipercayai mati akibat tersangkut pada pukat tunda

Anggaran Waktu Membaca:
2 bangkai penyu ditemui di pantai Terengganu; dipercayai mati akibat tersangkut pada pukat tunda

Gambar hiasan. (Gambar: ADEK BERRY / AFP)

Diterbitkan : 14 Jan 2022 06:30PM Dikemas Kini : 14 Jan 2022 06:31PM

KUALA TERENGGANU: Dua bangkai penyu Agar ditemui terdampar di pesisir Pantai Batu Burok, di Kuala Terengganu dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus hari ini (14 Jan).

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata kedua-dua haiwan yang dianggarkan berusia lebih kurang 20 tahun itu bersaiz panjang kira-kira 1.3 meter dan lebar sekitar 0.65 meter.

"Ciri-ciri fizikal kedua-dua bangkai penyu yang dijumpai hari ini adalah lebih kurang sama dan berat kedua-duanya kira-kira 40 hingga 50 kilogram serta kedua-duanya dipercayai jantan," katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata kedua-dua bangkai itu sudah ditanam di kawasan berhampiran ia dijumpai.

Ruzaidi berkata penemuan dua bangkai penyu itu menjadikan sejak bulan ini sebanyak lima kes kematian haiwan spesies tersebut direkodkan termasuk di Pantai Penunjuk, Kijal dekat Kemaman pada 3 Jan dan Pelabuhan Chendering di Kuala Terengganu pada Rabu (5 Jan).

Semalam pihaknya menerima kes seekor anak penyu Agar ditemui mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga di Marang.

Katanya kedua-dua penyu yang ditemui hari ini dipercayai mati akibat lemas ekoran tersangkut pada pukat tunda.

Justeru, Ruzaidi menyeru semua pengusaha pukat tunda supaya memasang peranti penyisih penyu pada peralatan mereka seperti yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia sebagai syarat untuk mereka mengendalikan pukat tunda.

Selain itu, orang ramai juga digesa supaya tidak membuang sampah dan sisa plastik makanan di kawasan pantai kerana penyu akan mudah termakan sisa plastik yang seterusnya memberi ancaman kepada spesies itu.

Ruzaidi berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 51 kes kematian penyu dicatatkan pihaknya dengan majoriti melibatkan spesies penyu Agar.

"Di samping itu kita tidak menolak kemungkinan terdapat unsur pengkhianatan ke atas penyu memandangkan tahun lepas ada bangkai penyu ditemui dengan bahagian cengkerangnya telah dibelah," katanya.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan