Skip to main content

Dunia

2 anggota Pengawal Negara ditembak dalam serangan dekat Rumah Putih

Dua anggota Pengawal Negara ditembak pada Rabu (26 Nov) berhampiran Rumah Putih dalam satu kejadian yang digambarkan oleh para pegawai sebagai serangan yang disasarkan. Suspek sudah ditahan selepas mengalami kecederaan akibat ditembak semasa kejadian tersebut.
Anggaran Waktu Membaca:
2 anggota Pengawal Negara ditembak dalam serangan dekat Rumah Putih
Anggota Pengawal Negara berkumpul berhampiran Rumah Putih di Washington pada 26 November 2025. (Gambar: AP/Mark Schiefelbein)
WASHINGTON: Dua anggota Pengawal Negara ditembak pada Rabu (26 Nov) berhampiran Rumah Putih dalam satu kejadian yang digambarkan oleh para pegawai sebagai serangan yang disasarkan. Suspek sudah ditahan selepas mengalami kecederaan akibat ditembak semasa kejadian tersebut.

Presiden Donald Trump berada di Florida ketika serangan itu berlaku, yang menyebabkan Rumah Putih ditutup buat sementara waktu, dengan penguat kuasa undang-undang daripada pelbagai agensi persekutuan dan bandar dikerahkan ke kawasan tersebut.

Suspek tiba dari satu sudut dan mula melepaskan tembakan ke arah anggota Pengawal Negara yang sedang melakukan rondaan secara terbuka berhampiran persimpangan 17th dan I Street, menurut Penolong Ketua Polis Metropolitan Jeff Carroll. Kedua-dua mangsa dalam keadaan kritikal, kata Pengarah FBI Kash Patel dalam satu sidang media.

“Ini adalah serangan yang disasarkan,” kata Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser.

Gabenor West Virginia Patrick Morrisey pada mulanya berkata dalam satu catatan di X bahawa kedua-dua mangsa adalah anggota Pengawal Negara wilayah itu dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Namun tidak lama kemudian beliau memuat naik kenyataan kedua dengan merujuk kepada “laporan yang bercanggah” berhubung keadaan mereka.

Motif tembakan tersebut masih belum jelas, dan para pegawai berkata bahawa siasatan masih lagi di peringkat awal.

Encik Trump berada di resortnya di Palm Beach menjelang cuti Thanksgiving pada Khamis, sementara Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance pula berada di Kentucky.

Dalam catatannya di media sosial, Encik Trump menyifatkan suspek sebagai “haiwan” yang akan “menanggung padah yang sangat berat” sambil memuji Pengawal Negara.

Kejadian itu berlaku berhampiran Farragut Square, lokasi makan tengah hari yang popular dalam kalangan para pekerja pejabat, yang terletak beberapa blok dari Rumah Putih. Taman itu, yang tiang lampunya dihiasi kalungan bunga dan reben sempena musim cuti, dikelilingi restoran makanan kasual, sebuah kedai kopi dan dua stesen kereta api bawah tanah.

Para saksi menggambarkan suasana cemas selepas tembakan dilepaskan, dengan para pejalan kaki lari bertempiaran.

Mike Ryan, 55 tahun, berkata beliau sedang dalam perjalanan untuk membeli makan tengah hari berhampiran tempat kejadian apabila terdengar bunyi seakan-akan satu tembakan. Beliau melarikan diri sejauh setengah blok sebelum terdengar satu lagi bunyi tembakan.

Apabila beliau kembali ke tempat kejadian, beliau melihat dua anggota Pengawal Negara terbaring di seberang jalan, dengan orang ramai cuba menyelamatkan salah seorang daripada mereka. Pada masa yang sama, anggota Pengawal Negara yang lain menahan seorang individu, kata Encik Ryan.

Seorang lagi saksi, Emma McDonald, berkata beliau melihat salah seorang anggota Pengawal Negara dibawa keluar dengan pengusung beberapa minit selepas berlaku tembakan, dengan kepalanya berlumuran darah dan satu sistem mampatan automatik dipasang pada dadanya.

Anggota Pengawal Negara ditempatkan di Washington sejak Ogos, apabila Encik Trump mengerahkan mereka sebagai sebahagian daripada tindakan tegasnya terhadap isu imigresen dan jenayah di bandar-bandar yang diterajui Parti Democrat.

Setakat Rabu, terdapat sekitar 2,200 anggota Pengawal Negara di Washington, termasuk para anggota dari daerah tersebut serta dari Louisiana, Mississippi, Ohio, South Carolina, West Virginia, Georgia dan Alabama.

Encik Trump sudah berulang kali mendakwa bahawa jenayah di ibu negara berjaya dihentikan hasil pengerahan tersebut, dengan tindakan itu dikritik secara meluas oleh Democrat.

Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth memberitahu ara wartawan bahawa Encik Trump turut meminta tambahan 500 anggota Pengawal Negara untuk ditempatkan di Washington berikutan kejadian tembakan tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita