2 anak mangsa tragedi Triso tabah kehilangan ibu, 5 adik-beradik
Mohamad Imran Syafie Mohamad Hamzah, 13 tahun, dan adiknya Fatihah Najwa, 10 tahun, menunjukkan ketabahan yang tinggi biarpun kehilangan ibu mereka, Cik Siti Aishah Abdullah, 36 tahun, dan lima adik-beradik mereka yang terkorban dalam tragedi kenderaan terhumban di pangkalan Feri Triso Jumaat lepas.
(Gambar: Bernama)
SIBU: Mohamad Imran Syafie Mohamad Hamzah, 13 tahun, dan adiknya Fatihah Najwa, 10 tahun, menunjukkan ketabahan yang tinggi biarpun kehilangan ibu mereka, Cik Siti Aishah Abdullah, 36 tahun, dan lima adik-beradik mereka yang terkorban dalam tragedi kenderaan terhumban di pangkalan Feri Triso Jumaat lepas.
Perkara itu diakui sendiri ibu saudara mereka Cik Hetty Razali, 38, yang melihat kedua adik-beradik tersebut kelihatan tenang, sehingga mampu memujuk ahli keluarga mereka yang lain agar bersabar dalam menghadapi tragedi itu, yang mereka terima sebagai ujian Allah.
“Mereka (Imran Syafie dan Fatihah) lebih kuat lagi daripada kami. Bukan kami yang pujuk mereka tetapi (sebaliknya) mereka berdua pujuk kami. Hanya sewaktu memandikan jenazah sahaja (mereka menangis), namun sepanjang tempoh pengurusan dan pengebumian jenazah, saya tidak nampak mereka berdua menangis.
“Mereka (berdua) yang mengajar dan memujuk kami sekeluarga (untuk) anggap ini adalah perpisahan sementara, bukan berpisah tidak akan berjumpa lagi, ini yang saya rasa mereka bertambah kuat,” katanya kepada pemberita pada majlis bacaan Surah Yassin dan Tahlil di Surau Darul Islam, Kampung Bandong pada Rabu (7 Jan).
Cik Hetty yang merupakan adik ipar Siti Aishah menemani kedua adik-beradik itu menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Nangka, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Bandong/Barieng, dan Jawatankuasa Surau Darul Islam Kampung Bandong.
Dalam kejadian 1 Jan itu, Cik Siti Aishah bersama lima orang anaknya, Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16; Khairunnisa, 14 tahun (perempuan); Mohd Aiman, 7 tahun; Muhd Mustaqim, 5 tahun, dan Mohd Ahmad, 4 bulan, terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terhumban ke Sungai Batang Lupar di pangkalan feri Triso.
Adik Siti Aishah, Cik Lorna Ting, 33 tahun, yang memandu kenderaan dan dua anaknya, Alvin Phang, 12 tahn, dan Wallace Phang, 7 tahun, turut terkorban dalam kejadian itu yang berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Kapit untuk menghantar Nor Shuhada dan Khairunnisa, ke sebuah madrasah di Kuching.
Sementara itu suami Cik Siti Aishah, Encik Mohamad Hamzah Razali, 43 tahun, ketika dihubungi berkata, beliau bersama seorang lagi anak lelakinya sedang menguruskan pengeluaran sijil kematian bagi sembilan mangsa tragedi tersebut, di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Maludam, Betong.
Sementara itu Ketua Kaum Kampung Bandong/Barieng Fatimah Narawi berkata majlis tersebut diadakan untuk keluarga yang terkorban dalam tragedi di Triso itu, dan membolehkan sanak-saudara serta orang ramai bersedekah dan menziarahi waris keluarga itu.
Majlis itu berlangsung sehingga tengah hari hari ini mendapat sambutan daripada penduduk setempat dan wakil dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) setempat, yang turut menghulurkan sumbangan kewangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.