2,823 akaun media sosial terbabit dalam kegiatan menyamar
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terlibat dalam kegiatan penyamaran dari 2018 hingga pertengahan Mac 2019, dengan 80 peratus daripadanya sudahpun dipadamkan selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.
(Gambar fail: Steve Marcus/Reuters)
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terlibat dalam kegiatan penyamaran dari 2018 hingga pertengahan Mac 2019, dengan 80 peratus daripadanya sudahpun dipadamkan selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.
Ketua Pegawai Sektor Pematuhan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata langkah itu bertujuan untuk melindungi para pengguna daripada kegiatan penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.
"Kesemua tindakan ini diambil susulan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada," katanya pada Jumaat (29 Mac).
Selain melakukan penutupan akaun dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, Encik Zulkarnain berkata pendekatan lain yang diambil adalah tindakan penguatkuasaan dan kempen sokongan.
Beliau menggesa para pengguna yang menjadi mangsa supaya terus membuat aduan kepada pihak penyedia platform media sosial atau SKMM.
Encik Zulkarnain berkata SKMM melaksanakan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai pentingnya menggunakan internet secara berhemah. Program itu sudahpun dijalani oleh lebih lima juta orang sejak ia diperkenalkan pada 2012.
Menurut kenyataan itu, tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi iaitu 28.7 juta orang, dengan memetik sumber daripada Kajian Pengguna Internet 2018 SKMM.
LAPORAN BERKAITAN:
'Scammer' menyamar jadi Aaron Aziz; sudah hubungi 3 rakan artis
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.