2.5 juta pendatang haram diberkas dalam operasi di Arab Saudi
Dalam tempoh kurang 15 bulan sahaja, pihak berkuasa Arab Saudi berjaya memberkas lebih 2.5 juta pendatang haram dan warga asing yang berada di negara itu kerana didapati melanggar syarat-syarat kediaman dan buruhnya.
Gambar fail para pekerja asing di Arab Saudi. (Gambar: AFP)
RIYADH: Dalam tempoh kurang 15 bulan sahaja, pihak berkuasa Arab Saudi berjaya memberkas lebih 2.5 juta pendatang haram dan warga asing yang berada di negara itu kerana didapati melanggar syarat-syarat kediaman dan buruhnya.
Menurut laporan Saudi Gazette, mereka diberkas dalam operasi keselamatan bersama yang mula dijalankan di negara itu pada 15 November 2017, lapor laman Saudi Gazette.
Operasi bersama yang diberi nama 'Negara Bebas daripada Ekspat Haram' dilancarkan dengan disertai oleh 19 agensi kerajaan dan sektor privet, termasuk Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial serta Jabatan Pasport.
Menurut pihak berkuasa, lebih 2.54 juta ekspatriat diberkas setakat 31 Januari, sejak kempen itu dimulakan. Mereka termasuk hampir 2 juta ekspatriat yang diberkas kerana mencabuli sistem kediaman, serta sekitar 390,000 ekspatriat yang melanggar syarat-syarat buruh dan kira-kira 174,000 yang menceroboh keselamatan sempadan negara itu.
Saudi Gazette menukil para pegawai sebagai mengatakan bahawa lebih 42,000 orang ditangkap ketika cuba menyelinap masuk ke dalam Arab Saudi melalui sempadan di bahagian tenggara negara itu.
Sekitar 51 peratus adalah rakyat Yaman manakala 46 peratus adalah rakyat Habsyah dan yang lain berasal dari negara-negara lain.
Sehingga 1,870 warga asing ditangkap ketika cuba untuk meninggalkan Arab Saudi secara haram, lapor Saudi Gazette.
Para pegawai berkata lebih 3,300 orang diberkas kerana membantu warga asing dari segi pengangkutan atau peningapan. Mereka termasuk lebih 1,000 rakyat Saudi. Lebih 1,000 daripada mereka sudahpun disiasat, dihukum dan dibebaskan manakala 32 yang lain masih disoal siasat.
Menurut para pegawai yang menjalankan kempen itu, lebih 11,200 warga asing kini ditahan di pelbagai pusat pengusiran. Mereka terdiri daripada sekitar 9,970 lelaki dan kira-kira 1,240 wanita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.