Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

192 mangsa banjir di Terengganu dipindahkan ke 4 pusat pemindahan sementara

Gelombang kedua banjir di Terengganu sudah bermula.

Anggaran Waktu Membaca:
192 mangsa banjir di Terengganu dipindahkan ke 4 pusat pemindahan sementara

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 10:44AM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 10:46AM

KUALA TERENGGANU: Gelombang kedua banjir di Terengganu sudah bermula.

Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di tiga daerah dinaiki air dan setakat pukul 7.30 pagi ini, empat pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata seramai 192 mangsa daripada 57 keluarga sudah dipindahkan ke empat PPS di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

"PPS pertama dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Chendering yang menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga diikuti dua PPS di Kuala Nerus iaitu SK Tok Jembal (151 mangsa daripada 46 keluarga) dan Balai raya Alor Damat (empat mangsa, sekeluarga) serta Dewan Sivik Seberang Pintasan di Dungun (22 mangsa daripada enam keluarga).

"Ketika ini, pemindahan penduduk juga sedang berlaku di daerah Setiu namun perinciannya masih dikemas kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini (24 Nov).

Beliau turut menasihatkan para penduduk di kawasan yang terjejas oleh banjir supaya mematuhi arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah.

Untuk rekod, gelombang banjir pertama di Terengganu berlaku pada Rabu lalu (18 Nov) namun, hanya melibatkan daerah Setiu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi mendapati beberapa buah rumah sudah dinaiki air sehingga menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke PPS.

Salah seorang mangsa, Encik Azman Sulong, 46, berkata kawasan perumahan Taman Murni Permai mula dinaiki air kira-kira pukul 6.00 petang semalam dan ia adalah pengalaman pertamanya kerana baru sahaja berpindah ke taman itu.

"Semua barang elektrik bersaiz besar seperti mesin basuh dan peti sejuk, saya tidak sempat alih ke tempat tinggi kerana air masuk dalam rumah dengan tiba-tiba," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan