Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

19 parti dalam Kerajaaan Perpaduan perlu segerakan keserasian jelang PRN, kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Semua 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu menyegerakan keserasian bagi memperkukuhkan lagi hubungan, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri di enam negeri akan datang. 

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung pada Ahad (14 Mei) merupakan platform terbaik untuk menyegerakan keserasian itu.

"Mulai hari ini, kita ada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, keserasian dengan pelbagai parti yang lain, 19 parti semuanya harus dipercepatkan keserasiannya," kata Presiden UMNO itu.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas majlis perjumpaan khas Presiden UMNO bersama Ketua, Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad. 

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi ini.

Kemuncak konvensyen bertemakan ‘MADANI: Mengangkat Agenda Rakyat’ adalah amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan pelancaran Tekad Bersama. 

Selain itu, Encik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta semua pemimpin parti di pelbagai peringkat jawatan Bahagian supaya mengetepikan segala perbezaan yang timbul sebelum ini terutama semasa pemilihan sesi 2023-2026.

Mengambil contoh 'biduk lalu kiambang bertaut', Pengerusi Barisan Nasional itu berkata perumpamaan berkenaan perlu dijadikan pegangan ahli UMNO bagi mengukuhkan kedudukan dan memperkasakan parti dalam menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

"Kita mahu menghadapi PRN di enam negeri, maka jentera harus digerakan dari sekarang dan yang lebih penting menyantuni pengundi tanpa parti politik," katanya. 

Sumber : Bernama/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan