19 orang disahkan mati akibat empangan runtuh Laos
Seramai 19 maut dan lebih 3,000 orang perlu diselamatkan selepas sebuah empangan runtuh di sebuah kawasan terpencil di Laos, menurut laporan media tempatan pada Rabu (25 Jul).
CHAMPASAK, Laos: Seramai 19 maut dan lebih 3,000 orang perlu diselamatkan selepas sebuah empangan runtuh di sebuah kawasan terpencil di Laos, menurut laporan media tempatan pada Rabu (25 Jul).
Akhbar bahasa Inggeris Vientiane Times menukil gabenor wilayah Bounhom Phommasane sebagai berkata lebih 3,000 orang "perlu diselamatkan" dan sekitar 2,851 sudahpun diselamatkan.
Sekitar 19 orang "ditemui mati", menurut akhbar itu.
Seorang pegawai konsular Thai di tempat kejadian pula memberitahu AFP bahawa 17 mayat sudah ditemui.
Kawasan itu dibenami air pada Isnin apabila sebahagian daripada empangan tersebut runtuh, mencetuskan bah yang menghanyutkan rumah dan mengakibatkan penduduk hilang.
"Kesemua yang meninggal dunia adalah warga Laos ... lebih daripada 6,000 penduduk kampung berdekatan turut terjejas," kata Encik Chana Miencharoen semasa ditemui di pusat perlindungan kawasan Attepeu, di mana nahas itu berlaku.
Kawasan terpencil itu hanya boleh dilalui helikopter dan bot tertentu akibat jalan raya yang musnah disebabkan banjir.
Empangan yang runtuh itu merupakan sebahagian daripada projek janakuasa hidroelektrik Xe-Pian Xe-Namnoy yang melibatkan syarikat Laos, Thailand dan Korea Selatan.
Syarikat Korea Selatan SK Engineering & Construction menyatakan pada Rabu, pihaknya mendapati bahagian atas struktur empangan mengalami masalah 24 jam sebelum ia runtuh. Syarikat itu mengarahkan 12 kampung supaya berpindah sebaik sahaja empangan itu menunjukkan tanda jelas ia akan runtuh.
"Kami dengan segera memberitahu pihak berkuasa dan mula mengarahkan penduduk kampung tempatan untuk berpindah," menurut kenyataannya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.