Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

19 November tarikh mengundi PRU15 cetus rasa rungsing dalam kalangan rakyat M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Tarikh mengundi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15) yang agak lewat pada 19 November nanti mencetuskan rasa rungsing dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mentelah lagi, Malaysia diramal sudah memasuki musim tengkujuh ketika itu.

Pengkaji Sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Awang Azman Awang Pawi berkata demikian kepada BERITAmediacorp pada Khamis (20 Okt).

Beliau juga menarik perhatian bahawa tarikh tersebut bercanggah dengan permintaan Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini iaitu untuk mengelakkan musim tengkujuh.

Musim tengkujuh di Malaysia lazimnya berlaku pada pertengahan bulan depan hingga Mac.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada Khamis (20 Okt) mengumumkan bahawa Hari Penamaan Calon jatuh pada 5 November sementara Hari Pengundian Awal pada 15 November.

Profesor Awang Azman bagaimanapun berpendapat PRU15 sepatutnya diadakan selewat-lewatnya pada 15 November.

"Kelengahan seminggu ini mungkin berdasarkan persediaan SPR sendiri untuk melakukan pelbagai urusan termasuk pengesahan barangan SPR, urusan-urusan pengangkutan SPR dan proses SPR untuk bergerak, dengan memberikan lebih masa kepada SPR," ujar beliau.

PERUBAHAN PADA PRU15 SESUAI DENGAN KEADAAN CUACA

Profesor Awang Azman juga menarik perhatian tentang keanggotaan SPR yang kebanyakannya merupakan ahli baru yang dilantik pada 2019 iaitu semasa kerajaan Pakatan Harapan.

Lantaran itu, beliau menambah tidak hairan juga ada perubahan yang diperkenalkan SPR dalam proses PRU15 kali ini berbanding dalam PRU14 pada 2018.

Antara perubahan yang diperkenalkan dalam PRU15 adalah tempoh berkempen lebih lama serta waktu operasi Hari Mengundi yang dilanjutkan.

Perkara berkenaan, menurut Profesor Awang, sesuai dengan cuaca hujan berterusan seperti yang diramalkan.

Beliau menjelaskan: "Saya kira ia mengambil kira faktor musim tengkujuh yang memberikan masa yang lebih panjang kepada orang ramai ataupun pengundi.

"Sekiranya ada apa-apa yang berlaku mereka boleh menggunakan masa yang ada itu untuk dimanfaatkan tetapi yang terbaik adalah menggalakkan pengundi turun lebih awal. Mengundi pada awal pagi."

Jika diambil kira faktor-faktor tersebut, Profesor Awang menekankan tidak wajar untuk membandingkan PRU15 dengan PRU14.
 
Secara keseluruhannya, sekitar 21 juta rakyat Malaysia layak mengundi kali ini iaitu kira-kira 40 peratus lebih ramai berbanding 2018.

Sekitar 5.8 juta pula adalah pengundi kali pertama dengan seramai 1.2 juta orang adalah golongan belia.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan