Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1.9 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya PLUS jelang Aidiladha

PLUS menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya semasa cuti perayaan Aidiladha bermula 7 hingga 12 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
1.9 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya PLUS jelang Aidiladha

Lebuh Raya Utara-Selatan. (Gambar: AFP PHOTO/Ahmad YUSNI)

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya semasa cuti perayaan Aidiladha bermula 7 hingga 12 Julai.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi berkata oleh itu pengguna dinasihati supaya mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. 

Beliau berkata pihaknya menyarankan orang ramai yang akan pulang ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum 10.00 pagi pada 7 Julai hingga 10 Julai. 

Bagi mereka yang menuju ke lokasi lain yang lebih dekat pula dinasihati supaya memasuki lebuh raya selepas 1.00 tengah hari.

“Kami menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa. Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan tempoh perjalanan yang lebih panjang pada hari-hari puncak tersebut.

"TTA bermatlamat untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan terkumpul serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekali gus mengurangkan kesesakan," katanya dalam kenyataan hari ini (6 Jul).

Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pula, beliau berkata pengguna dinasihati agar memasuki lebuh raya sebelum 9.00 pagi pada 10 Julai hingga 12 Julai.

“Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini,” jelasnya. 

Encik Zakaria turut menyeru pengguna untuk mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, applikasi PLUS, talian PLUSLine, papan tanda elektronik (VMS) serta mengikuti laporan trafik menerusi siaran radio utama.

Pengguna lebuh raya juga digalakkan menggunakan applikasi Waze dan Google Maps untuk merancang perjalanan mereka di samping memastikan baki kad Touch 'n Go atau e-wallet mencukupi .

Selain itu, beliau turut menasihati pengguna agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

"Sila patuhi had kelajuan di lebuh raya, elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain dan berehat sebentar untuk menyegarkan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuh raya,” katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan