Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

18 tan beras tanpa dokumen import dari SG dirampas pihak berkuasa M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas kira-kira 18 tan beras dari Singapura kerana tidak mempunyai sebarang dokumen untuk mengimport dagangan tersebut.

MAQIS memaklumkan produk yang dianggarkan bernilai RM100,000 (S$29,000) itu ditemukan di dalam sebuah lori yang membawa 20 bag jumbo mengandungi beras di laluan import kargo, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor, pada pukul 3.00 petang, Khamis lalu (22 Jun).

"Hasil pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Penguasa MAQIS mendapati barangan ini cuba dibawa masuk dengan pengikraran menggunakan maklumat barangan lain bagi cubaan mengelirukan pegawai penguat kuasa di pintu masuk.

"Pemandu lori yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30-an telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kes ini diserahkan kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negeri Johor bagi siasatan lanjut," menurut MAQIS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (28 Jun).

Menurut MAQIS, pemeriksaan yang dilakukan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu susulan mendapat makluman daripada orang awam.

Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian ke Malaysia dan sentiasa mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa kerajaan bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti negara.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan