Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

18 penunjuk perasaan terbunuh; undang-undang tentera dilaksana di Yangon

Junta tentera Myanmar pada lewat Ahad (14 Mac) menguatkuasakan undang-undang tentera di dua bandar di Yangon setelah sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan terbunuh dalam salah satu hari yang paling berdarah sejak berlaku rampasan kuasa tentera pada 1 Feb lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
18 penunjuk perasaan terbunuh; undang-undang tentera dilaksana di Yangon

Penunjuk perasaan kelilingi seorang lelaki cedera di bandar Hlaing Tharyar di Yangon, Myanmar Sunday, pada 14 Mac 2021 (Gambar: AP Photo)

Diterbitkan : 15 Mar 2021 10:06AM Dikemas Kini : 15 Mar 2021 10:12AM

YANGON: Junta tentera Myanmar pada lewat Ahad (14 Mac) menguatkuasakan undang-undang tentera di dua bandar di Yangon setelah sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan terbunuh dalam salah satu hari yang paling berdarah sejak berlaku rampasan kuasa tentera pada 1 Feb lalu.

Keganasan pada Ahad menjadikan angka korban akibat terbunuh dalam tunjuk perasaan besar-besaran sejak tentera menggulingkan pemimpin pemerintah awam Aung San Suu Kyi sekitar 100 orang, walaupun para aktivis dan kumpulan hak asasi manusia percaya korban jiwa sebenar mungkin lebih tinggi.

Junta tentera berkata-kali cuba mewajarkan rampasan kuasa itu dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya yang diadakan pada November lalu, yang dimenangi oleh Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.

Media rasmi Myanmar mengumumkan pada lewat malam semalam bahawa dua bandar besar iaitu Hlaing Tharyar di Yangon dan bandar Shwepyitha yang terletak berdekatan akan diletakkan di bawah undang-undang tentera.

Bandar yang besar tetapi miskin itu turut dikenali sebagai sebuah hab yang menempatkan kilang-kilang pakaian.

Junta "memberikan kuasa undang-undang tentera dan kehakiman kepada komander wilayah Yangon ... untuk menjaga keamanan, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam dengan lebih berkesan," umum stesen televisyen yang dikendalikan oleh pemerintah itu.

Sejak beberapa minggu lalu, para askar dan pegawai polis bertindak tegas terhadap para penunjuk perasaan yang menuntut agar demokrasi dikembalikan dan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan menggunakan peluru getah dan juga peluru hidup untuk meleraikan bantahan tersebut.

Di bandar Hlaing Tharyar, para pegawai polis dan tentera bertempur dengan para penunjuk perasaan yang bersenjatakan kayu dan pisau dan mereka cuba mendapatkan perlindungan di sebalik hadangan sementara.

Para penunjuk perasaan turut menggunakan tong sampah sebagai perisai untuk menyelamatkan beberapa penunjuk perasaan yang cedera ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan, tetapi seorang doktor berkata tidak semua dapat diselamatkan.

"Saya boleh mengesahkan 15 orang meninggal dunia," kata doktor itu kepada AFP, sambil menambah bahawa beliau sudah merawat sekitar 50 orang dan menjangkakan angka korban akan terus meningkat.

Kumpulan pemantau The Assistance Association for Political Prisoners - yang mengesahkan penangkapan dan kematian sejak berlaku rampasan kuasa di Myanmar - membayangkan angka korban yang lebih tinggi.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan