Skip to main content

Dunia

18 maut, sembilan hilang akibat hujan lebat dan tanah runtuh di Korea Selatan

Seramai 18 orang dilaporkan terkorban manakala sembilan lagi masih hilang susulan hujan lebat dan kejadian tanah runtuh yang melanda Korea Selatan sejak minggu lalu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pemerintah pada Isnin (21 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
18 maut, sembilan hilang akibat hujan lebat dan tanah runtuh di Korea Selatan

Sebuah bangunan kedai yang musnah akibat banjir dan hujan lebat di Gapyeong, Korea Selatan, pada 20 Julai 2025. (Gambar: AP)

SEOUL: Seramai 18 orang dilaporkan terkorban manakala sembilan lagi masih hilang susulan hujan lebat dan kejadian tanah runtuh yang melanda Korea Selatan sejak minggu lalu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pemerintah pada Isnin (21 Jul).

Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat Ahad pukul 9.00 malam, jumlah korban merangkumi 10 orang di Sancheong di selatan, dua di Gapyeong di utara dan dua lagi di Seosan di barat negara itu.

Empat daripada mangsa yang hilang dilaporkan di Sancheong manakala empat lagi di Gapyeong.

Lebih 14,000 penduduk sudah dipindahkan ke pusat pemindahan di 15 bandar dan wilayah utama sejak hujan lebat bermula pada Rabu lalu.

Kerosakan harta benda turut dilaporkan, dengan 1,999 kes membabitkan kemudahan awam dan 2,238 kes melibatkan kemudahan persendirian setakat pukul 6.00 petang pada Ahad.

Agensi cuaca negara meramalkan hujan akan berterusan sehingga pagi Isnin di Wilayah Jeolla Selatan, Wilayah Gyeongsang Selatan dan pulau selatan Jeju.

Wilayah Jeolla Utara dan Gyeongsang Utara dijangka mula menerima hujan pada pukul 9.00 pagi manakala kawasan ibu negara serta wilayah Gangwon dan Chungcheong diramal mengalami hujan pada sebelah petang.

Dalam pada itu, pemerintah Korea Selatan sudah menarik balik semua amaran hujan lebat dan menurunkan tahap amaran daripada "serius" kepada "waspada" pada Ahad.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita