Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

179 orang maut dalam nahas pesawat Jeju Air di Korea Selatan, 2 diselamatkan

Sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh apabila sebuah pesawat tergelincir dari landasan dan terbakar ketika ia merempuh tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Ahad (29 Dis), menurut agensi bomba negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
179 orang maut dalam nahas pesawat Jeju Air di Korea Selatan, 2 diselamatkan

(Gambar: AFP/YONHAP)

Diterbitkan : 29 Dec 2024 09:31AM Dikemas Kini : 29 Dec 2024 08:43PM
SEOUL: Seramai 179 orang maut apabila sebuah pesawat tergelincir dari landasan dan terbakar ketika ia merempuh tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Ahad (29 Dis), menurut agensi bomba negara itu.

Dua individu, seorang lelaki dan wanita, diselamatkan dari bahagian ekor pesawat yang terbakar, kata ketua bomba Muan, Lee Jung-hyun, dalam satu taklimat.

Api dipadamkan setakat pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan, tambah Encik Lee.

Nahas itu berlaku ketika pesawat Jeju Air 7C2216, yang membawa 181 penumpang dan enam anak kapal, dalam penerbangan dari Bangkok, mendarat sejurus selepas pukul 9.00 pagi (8.00 pagi, waktu Singapura) di lapangan terbang tersebut yang terletak di bahagian selatan negara itu, menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan.

Kementerian itu bagaimanapun tidak mengesahkan laporan mengenai angka korban.

Sekurang-kurangnya 58 mayat telah ditemui tetapi jumlah itu belum muktamad, menurut seorang pegawai bomba kepada Reuters.

Para pegawai dan Kementerian Pengangkutan tidak dapat mengesahkan laporan mengenai 28 korban jiwa.

Pihak berkuasa sedang berusaha untuk menyelamatkan para penumpang di bahagian ekor pesawat, menurut seorang pegawai lapangan terbang yang berkata demikian kepada Reuters sejurus selepas nahas tersebut.

Video yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan pesawat itu tergelincir di landasan tanpa gear pendaratan sebelum merempuh tembok lalu terbakar. Gambar-gambar lain menunjukkan kepulan asap dan api pada beberapa bahagian pesawat tersebut.

Pesawat itu adalah jet Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh Jeju Air, yang sedang menyiasat kemalangan itu, termasuk butiran mangsa dan puncanya, kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Pemangku Presiden Korea Selatan Choi Sang-mok, yang dinamakan sebagai pemimpin sementara negara itu pada Jumaat (27 Dis) selepas pemangku presiden sebelum ini didakwa di tengah-tengah krisis politik yang berterusan, mengarahkan usaha menyelamat dijalankan habis-habisan, menurut pejabatnya.

Ketua Turus Pejabat Presiden juga mengadakan mesyuarat tergempar.

Pada mesyuarat tersebut, yang dipengerusikan oleh ketua kakitangan presiden Chung Jin-suk, para pegawai membincangkan tentang kerjasama antara agensi mengenai siasatan kemalangan itu, serta bantuan perubatan dan lain-lain.

Pemangku Pesuruhjaya Jeneral Agensi Polis Negara Lee Ho-young turut mengarahkan pegawai untuk memindahkan semua sumber yang ada dan bekerjasama dengan bomba dan agensi berkaitan lain untuk membantu usaha menyelamat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeju Air, Kim E-bae, memohon maaf dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga yang kehilangan orang tersayang. Beliau berikrar untuk memberikan segala sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa.

Lapangan Terbang Antarabangsa Muan terletak di daerah Muan, iaitu kira-kira 288km dari barat daya Seoul.

Agensi bomba menyatakan bahawa ia telah mengerahkan 32 kereta bomba dan sejumlah anggota bomba ke tempat kejadian.

Ini adalah kemalangan maut pertama dalam sejarah Jeju Air, salah satu syarikat penerbangan tambang hemat terbesar di Korea Selatan, yang ditubuhkan pada 2005.

Pada 12 Ogos 2007, pesawat Bombardier Q400 yang dikendalikan oleh Jeju Air yang membawa 74 penumpang dilanda angin kencang di Lapangan Terbang Busan-Gimhae, mengakibatkan berbelas-belas orang cedera.

Industri penerbangan Korea Selatan mempunyai rekod prestasi yang kukuh bagi keselamatan, menurut para pakar.

Tahun lalu, seorang penumpang membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines ketika ia sedang bersiap sedia untuk mendarat, dengan pesawat itu mendarat dengan selamat tetapi beberapa orang dimasukkan ke hospital.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan