Skip to main content

Dunia

1,760 warga Gaza terbunuh semasa dapatkan bantuan sejak Mei: PBB

Anggaran Waktu Membaca:
1,760 warga Gaza terbunuh semasa dapatkan bantuan sejak Mei: PBB

Kepulan asap menyelimuti langit selepas tentera Israel membedil Khan Younis di Carikan Gaza pada 15 Ogos 2025. (Gambar: AP/Mariam Dagga)

Diterbitkan : 16 Aug 2025 09:55AM Dikemas Kini : 16 Aug 2025 09:56AM
BAITULMAKDIS: Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sekurang-kurangnya 1,760 warga Palestin terbunuh semasa mendapatkan bantuan di Gaza sejak lewat bulan Mei.

Jumlah ini melonjak tiga angka sejak perangkaan sebelumnya didedahkan pada awal bulan ini.

Perkembangan itu dilaporkan sedang agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 31 penduduk terbunuh dalam serangan Israel pada Jumaat (15 Ogos), termasuk 12 yang sedang menunggu ketibaan bekalan kemanusiaan.

Tentera Israel mendakwa askar-askarnya sedang berusaha menghapuskan keupayaan tentera Hamas, sambil menambah bahawa pasukannya sudah mengambil langkah-langkah untuk elak daripada membahayakan orang awam.

Sekatan terhadap media di Gaza serta kesukaran untuk memasuki Carikan Gaza menghambat agensi berita AFP daripada mengesahkan secara bebas angka korban serta butiran-butiran yang diberikan oleh agensi pertahanan awam dan tentera Israel.

Pada Rabu (13 Ogos), ketua kakitangan tentera Israel berkata rancangan diluluskan untuk serangan baharu di Gaza, yang bertujuan untuk menghapuskan Hamas dan membebaskan semua tebusan yang masih hidup.

Pihak tentera rancang untuk menguasai Bandar Gaza dan kem-kem pelarian berdekatan, yang merupakan antara tempat paling padat dengan penduduk di wilayah itu, yang dilanda perang selama lebih 22 bulan.

Selama beberapa hari kebelakangan ini, penduduk Bandar Gaza memberitahu AFP serangan udara berlaku lebih kerap menyasarkan kawasan perumahan, manakala awal minggu ini Hamas mengecam pencerobohan darat "agresif" Israel di kawasan itu.

Rancangan pemerintah Israel untuk meluaskan perang cetus bantahan masyarakat antarabangsa dan juga penduduknya.

Tokoh-tokoh bertauliah PBB memberi amaran tentang krisis kebuluran yang meluas di wilayah itu, di mana Israel secara menyekat jumlah bantuan kemanusiaan yang dibenarkan tanpa belas kasihan.

Serangan Hamas pada Oktober 2023 yang cetuskan perang mengakibatkan kematian 1,219 orang, menurut kiraan AFP berdasarkan perangkaan rasmi.

Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 61,827 warga Palestin, menurut perangkaan kementerian kesihatan Gaza kendalian Hamas yang dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sumber yang berwibawa.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita