Skip to main content

Dunia

17,000 pekerja Bangladesh terkandas; mohon Malaysia beri lanjutan masa bagi tarikh akhir kemasukan

Anggaran Waktu Membaca:
17,000 pekerja Bangladesh terkandas; mohon Malaysia beri lanjutan masa bagi tarikh akhir kemasukan

Gambar fail: Fadza Ishak/CNA

Diterbitkan : 03 Jun 2024 09:53AM Dikemas Kini : 03 Jun 2024 09:56AM
PETALING JAYA: Bangladesh memohon kepada Malaysia agar hampir 17,000 pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia, dibenarkan masuk.

Shofiqur Rahman Choudry, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan di luar negara Bangladesh, menggesa tempoh khas diberikan sekali untuk pekerja-pekerja tersebut memasuki Malaysia.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim pada Rabu (5 Jun), katanya.

Encik Choudry berkata, beliau telah merayu kepada Cik Haznah dua minggu lepas agar tarikh akhir kemasukan pekerja dilanjutkan, kerana ‘masalah ini telah dijangka’, dipetik daripada agensi berita Free Malaysia Today.

Beliau berharap kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan nasib pekerja ‘yang masa depannya bergantung pada pekerjaan di Kuala Lumpur’.

Jika tidak, mereka akan mengalami kesusahan yang melampau, katanya, memandangkan ramai antara mereka telah menghabiskan simpanan atau meminjam wang untuk membayar ejen bagi dokumentasi, lapor Free Malaysia Today.

Katanya, taufan, ketiadaan penerbangan, dan koordinasi ejen yang lemah menghalang ramai pekerja pergi ke Dhaka, kemudian ke Malaysia.

Encik Choudry berkata, semua pekerja mempunyai visa dengan rujukan yang diluluskan dari Jabatan Imigresen Malaysia, serta kad sah dari Biro Tenaga Kerja, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh, yang dikeluarkan sebaik visa diluluskan dan mereka bersedia melakukan perjalanan.

Sepanjang minggu lepas, ejen dan majikan bergegas menguruskan kemasukan pekerja dari Bangladesh sebelum tarikh akhir 31 Mei yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia pada Januari untuk pekerja masuk.

Pekerja dilaporkan terpaksa membayar lebih untuk penerbangan mereka dan memenuhi tuntutan bayaran pengambilan yang tinggi oleh ejen yang tidak bertanggungjawab.

Encik Choudry berkata, kementeriannya membentuk jawatankuasa yang dianggotai oleh enam ahli untuk menyiasat dakwaan ini. Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) mungkin bertanggungjawab atas isu ini, tambahnya.

“Persatuan itu tidak memberikan kerjasama apabila kami meminta senarai nama untuk mengatur penerbangan. Kami akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya, menurut Free Malaysia Today.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan kementeriannya sekarang adalah memastikan pekerja yang terkandas dapat sampai ke Malaysia secepat mungkin.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita