Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

17 warga Malaysia sahut cabaran berkonvoi ke Makkah Ramadan ini

Menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah pasti menjadi impian semua umat Islam di seluruh dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
AYER KEROH: Menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah pasti menjadi impian semua umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun ramai yang melakukan perjalanan ke Makkah melalui laluan udara, sekumpulan 17 individu ini pula ingin melakukan ekspedisi rentas negara sejauh 15,000 kilometer menggunakan laluan darat ke Makkah.

Menariknya, ekspedisi melibatkan peserta berusia antara 19 dengan 59 tahun itu dijangka mengambil masa selama 45 hari.

Mereka juga dijangka menjadi konvoi kenderaan Malaysia pertama ke Makkah.

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Fawwaz Zam Zam, idea untuk mengadakan ekspedisi ke Makkah bermula pada Oktober tahun lalu sebelum dapat dikotakan pada Ramadan ini melalui program 'Jelajah Silaturahim Malaysia ke Makkah'.

"Perancangan sebenarnya daripada tahun lepas lagi yang mana saya bercadang untuk mengembara secara solo dengan membawa Proton Wira saya ini.

"Namun apabila saya suarakan hasrat saya kepada rakan yang juga penyelaras projek ini, dia mencadangkan untuk mengajak rakan-rakan lain dan menjelajah bersama sebelum ia direalisasikan kali ini," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Fawwaz berkata konvoi berkenaan bakal merentasi 14 negara termasuk Indocina, China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.

Beliau dan pasukan ekspedisinya memilih untuk memulakan perjalanan pada bulan Ramadan ini menyusuli kekangan pembukaan pintu sempadan di Tibet, China yang hanya akan dibuka pada 1 April selain penutupan pintu sempadan tanah haram yang akan ditutup bagi musim haji.

Menurutnya lagi, menyedari pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi, beliau yang akan memandu berdua bersama rakannya telah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal sejak tahun lalu selain memberitahu kos yang digunakan adalah sekitar RM50,000 (S$14,185).

Perjalanan yang melibatkan perbelanjaan sekitar RM 580,000 (S$164,514) itu turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000 (S$28,364) daripada kerajaan negeri Melaka yang disampaikan oleh Ketua Menterinya Ab Rauf Yusoh.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan