17 maut setelah pesawat tentera Filipina terhempas
Sekurang-kurangnya 17 orang terkorban dan 40 yang lain diselamatkan setelah pesawat tentera Filipina terhempas pada Ahad (4 Jul), menurut Menteri Pertahanan Delfin Lorenzana dalam kenyataannya.

Bangkai pesawat tentera Filipina yang terhempas pada 4 Jul 2021 di Pulau Jolo, Sulu (Gambar: Facebook/Rotary Clubs of the Philippines)
COTABATO: Sekurang-kurangnya 17 orang terkorban dan 40 yang lain diselamatkan setelah pesawat tentera Filipina terhempas pada Ahad (4 Jul), menurut Menteri Pertahanan Delfin Lorenzana dalam kenyataannya.
Pesawat itu, yang membawa sekurang-kurangnya 85 orang, "terlepas landasan" dan terhempas ketika cuba mendarat di Pulau Jolo di wilayah Sulu, kata panglima tentera itu.
Sejauh ini 40 orang berjaya diselamatkan daripada bangkai pesawat pengangkutan C-130 yang terbakar, kata Jeneral Cirilito Sobejana.
Nahas itu berlaku pada 11.30 pagi waktu tempatan.
"Semasa membawa askar kita dari Cagayan de Oro (di pulau selatan Mindanao), ia terlepas landasan, cuba mengawal keadaan namun tidak berjaya," kata Jeneral Sobejana kepada media tempatan, yang menyifatkan kemalangan itu sebagai nahas yang "sangat malang".
"Pasukan barisan hadapan kini berada di tempat kejadian. Kami berdoa agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan," kata Jeneral Sobejana kepada AFP.
Menurut Jeneral Sobejana, 40 yang diselamatkan sedang dirawat di hospital Divisyen Infantri ke-11 yang terletak berdekatan.
Sebahagian besar penumpang baru saja lulus dari latihan ketenteraan asas dan sedang dikerahkan ke pulau yang bergolak itu sebagai sebahagian daripada pasukan petugas untuk membanteras keganasan di wilayah yang kebanyakan penduduknya beragama Islam.
Pesawat C-130, pengangkutan utama angkatan tentera udara, digunakan untuk membawa anggota tentera dan bekalan. Pesawat jenis itu juga sering dikerahkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan dan menghulurkan bantuan bencana.
Kemalangan itu berlaku setelah sebuah helikopter Black Hawk terhempas bulan lalu semasa menjalankan latihan pada sebelah malam, meragut nyawa keenam-enam orang yang menaikinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.