Skip to main content

Dunia

17 maut dalam serangan Israel berhampiran tapak bantuan Gaza

Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan beribu-ribu penduduk di sebuah tapak pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh sebuah kumpulan kemanusiaan yang disokong Amerika di tengah Gaza pada Selasa (10 Jun), menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
17 maut dalam serangan Israel berhampiran tapak bantuan Gaza

Individu-individu yang sedang berkabung semasa upacara pengebumian rakyat Palestin yang terbunuh akibat tembakan Israel pada 10 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan beribu-ribu penduduk di sebuah tapak pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh sebuah kumpulan kemanusiaan yang disokong Amerika di tengah Gaza pada Selasa (10 Jun), menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Para anggota medik berkata mangsa dibawa ke dua hospital iaitu Hospital Al-Awda di kem Nuseirat yang berada di tengah Gaza dan Hospital Al-Quds di Bandar Gaza.

Tentera Israel menyatakan pasukannya telah melepaskan tembakan amaran ke arah "suspek yang menghampiri kawasan Wadi Gaza dan menimbulkan ancaman terhadap pasukan tenteranya".

Ia menambah bahawa ia sedia maklum mengenai laporan bahawa beberapa individu cedera, namun ia berkata jumlah yang diterbitkan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan tidak selaras dengan maklumat yang dikumpul.

"Tembakan amaran dilepaskan beberapa ratus meter dari tapak pengagihan bantuan, sebelum waktu operasinya dan ke arah suspek yang menimbulkan ancaman terhadap tentera," menurut tentera Israel.

Tentera Israel sebelum ini menuduh Hamas sengaja mengganggu proses pengagihan bantuan.

“Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum kami memulakan operasi di luar tapak pengagihan kami,” menurut kenyataan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) sambil merujukkan pertanyaan lanjut kepada tentera Israel.

Sebelum ini, GHF menyatakan bantuan diagihkan pada Selasa dari tiga lokasi di selatan dan tengah Gaza tanpa sebarang kejadian.

Pada minggu lalu, pihak tentera memberi amaran kepada penduduk Palestin supaya tidak menghampiri laluan menuju ke tapak GHF antara pukul 6.00 petang hingga pukul 6.00 pagi waktu tempatan sambil mengisytiharkan laluan itu sebagai zon tentera tertutup.

GHF mula mengagihkan pek makanan di Gaza pada akhir Mei, dengan menyelia model baharu pengagihan bantuan yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak bersifat berkecuali mahupun adil.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita