Skip to main content

Dunia

1.7 juta hadiri perhimpunan di Istanbul jelang Pilihan Raya Presiden Turki

Anggaran Waktu Membaca:
1.7 juta hadiri perhimpunan di Istanbul jelang Pilihan Raya Presiden Turki

(Gambar: AFP/Demiroren News Agency)

ANKARA: Dengan tempoh berbaki seminggu lagi untuk Pilihan Raya Presiden dan Parlimen di Turki, presiden negara itu mengadakan perhimpunan besar-besaran di Istanbul pada Ahad (8 Mei) yang dihadiri sekurang-kurangnya 1.7 juta orang.

Presiden Recep Tayyip Erdogan yang memuji orang ramai yang hadir pada perhimpunan di Istanbul, mengimbas kembali pencapaian pemerintahannya sejak 21 tahun lalu, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pemimpin Turki itu berkata pemerintahannya berjaya meningkatkan pendapatan negara sebanyak tiga kali ganda sejak 21 tahun lalu.

"Dalam tempoh 21 tahun, kami menyediakan pekerjaan dan makanan kepada 21 juta orang dan membina 10.5 juta rumah baru".

Beliau mengkritik parti-parti pembangkang di negara itu atas retorik mereka mengenai dron tempatan serta dron tempur dan berjanji akan meningkatkan lagi industri pertahanan negara itu.

Mengenai tenaga, Encik Erdogan mengimbas kembali rizab gas asli dan minyak bernilai berbilion dolar yang ditemui di Laut Hitam dan kawasan Gabar di selatan Turki untuk kegunaan negara.

Encik Erdogan juga berkata bahawa pemerintahnya sedang melaksanakan "Projek Terowong Istanbul Hebat," yang akan menjadi terowong ketiga bawah Laut Marmara.

Pilihan raya di Turki akan berlangsung pada 14 Mei.

Untuk pemilihan presiden, para pengundi akan memilih antara Presiden Recep Tayyip Erdogan dan tiga calon pembangkang Kemal Kilicdaroglu, Muharrem Ince dan Sinan Ogan.

Sementara itu, 24 parti politik dan 151 calon bebas bersaing untuk merebut kerusi parlimen Turki yang dianggotai 600 orang.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita