Skip to main content

Dunia

17 jemaah umrah M'sia yang dijangkiti Omicron tidak divaksin, dedah Khairy Jamaluddin

Anggaran Waktu Membaca:
17 jemaah umrah M'sia yang dijangkiti Omicron tidak divaksin, dedah Khairy Jamaluddin

Para jemaah umrah di Makkah pada 25 Dis 2020. (Gambar: Haramain/Facebook)

Diterbitkan : 07 Jan 2022 10:49AM Dikemas Kini : 07 Jan 2022 10:50AM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan perbuatan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah negara itu, setakat Selasa (4 Jan), tidak menerima suntikan vaksin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa pihaknya sedang meneliti alasan 17 jemaah terbabit mengenai perkara itu, menurut Astro AWANI. 

“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan SOP kerana hanya mereka yang divaksin saja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan. Kita akan bincang dengan kementerian terlibat supaya agensi pelancongan dapat patuh dengan syarat kita letakkan.

“Kita juga sedang siasat sama ada mereka ini yang tidak menerima vaksinasi disebabkan faktor kesihatan atau memang enggan divaksin,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis (6 Jan), seperti dinukil Astro AWANI. 

Berdasarkan data yang dikongsikan, daripada 122 dijangkiti Omicron itu, 26 menerima vaksin AstraZeneca, Moderna (satu), Pfizer (57), Sinovac (enam), selain penerima dos penggalak Pfizer (enam) dan Sinovac (lapan), manakala 17 tidak divaksin.

Dalam pada itu, Encik Khairy menjelaskan, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi dan konsulat di negara tersebut untuk memperketatkan SOP sedia ada.

“KKM bersama agensi berkaitan akan kemas kini SOP umrah termasuk pengambilan dos penggalak sebagai syarat mengerjakan umrah, pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi.

“Pemantuan status kesihatan, memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan dan memastikan pematuhan SOP umrah oleh jemaah dan petugas umrah serta melaporkan kes positif dan kontak rapat kepada KKM,” katanya lagi, menurut Astro AWANI. 

Dalam pada itu, Encik Khairy memberitahu, KKM sudah pun berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan berhubung penangguhan umrah.

"MOTAC akan bincang dengan agen-agen pelancongan untuk cari kaedah bagaimana dapat menjadualkan semula umrah.

“Kementerian Pengangkutan pula akan bincang penjadualan semula penerbangan yang tertangguh disebabkan keputusan penangguhan ini,” katanya.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita