Skip to main content

Dunia

17 cedera dalam letupan di kawasan perumahan Shanxi, China

Sekurang-kurangnya 17 orang cedera selepas satu letupan menggegarkan kawasan perumahan di wilayah Shanxi di utara China, mencetuskan kepulan asap tebal dan memecahkan tingkap bangunan berhampiran, lapor media negara pada Rabu (30 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
17 cedera dalam letupan di kawasan perumahan Shanxi, China

Letupan di kawasan perumahan di wilayah Shanxi, utara China mencederakan 17 orang pada 30 April 2025. (Gambar fail: REUTERS/Andy Wong)

BEIJING: Sekurang-kurangnya 17 orang cedera selepas satu letupan menggegarkan kawasan perumahan di wilayah Shanxi di utara China, mencetuskan kepulan asap tebal dan memecahkan tingkap bangunan berhampiran, lapor media negara pada Rabu (30 Apr).

Letupan itu berlaku sekitar pukul 5.17 pagi GMT (1.17 tengah hari waktu Singapura) di bandar Taiyuan, menurut penyiar rasmi CCTV, tanpa menyatakan punca kejadian.

Rakaman yang tular di media sosial Weibo, yang belum dapat disahkan Reuters, menunjukkan beberapa kenderaan dijilat api di luar sebuah bangunan, sedang asap tebal keluar dari beberapa kereta dan tingkap kediaman.

Seramai 210 anggota bomba dan 43 lori bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut CCTV. Kementerian Pengurusan Kecemasan China turut menghantar pasukan khas bagi menyelaras operasi menyelamat, serta mengarahkan gerakan mencari di setiap tingkat untuk mengesahkan bilangan orang yang terperangkap dalam bangunan tersebut.

Letupan itu berlaku hanya sehari selepas satu kebakaran di sebuah restoran di wilayah Liaoning, timur laut China, meragut 22 nyawa. Presiden Xi Jinping menyifatkan insiden berkenaan sebagai "pengajaran yang amat memilukan" dan menggesa para pegawai tempatan agar melakukan segala usaha untuk mencegah kemalangan serius.

Pihak berkuasa Liaoning pada Rabu berkata siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut. Namun, mereka menolak kemungkinan ia adalah akibat letupan gas atau perbuatan khianat, menurut laporan CCTV.

Analisis awal membayangkan bahawa mangsa yang terperangkap di dalam restoran berkemungkinan meninggal dunia akibat sesak nafas setelah terhidu gas beracun pada jumlah yang besar, sedang api marak menjilat perabot dan bahan hiasan yang mudah terbakar, menurut CCTV.

Kejadian-kejadian terbaru itu dilaporkan menyusuli beberapa kemalangan serupa yang berlaku di seluruh China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Awal April lalu, 20 orang maut dalam satu kebakaran di apartmen warga emas di sebuah rumah jagaan di wilayah utara Hebei.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita