16 warga M'sia diperdaya dengan peluang pekerjaan di Kemboja diselamatkan

Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 16 warga Malaysia di Wilayah Preah Sihanouk, Kemboja yang sudah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di negara itu dengan tawaran gaji lumayan.
Kesemua mangsa dalam lingkungan usia 19 hingga 43 tahun itu terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita diselamatkan dengan kerjasama PDRM, Interpol, Polis ASEAN, Kementerian Luar serta Polis Kemboja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata kesemua mangsa diselamatkan pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari 5 April lalu.
Beliau berkata mereka diperdaya melalui iklan di laman Facebook malah kos perbelanjaan perjalanan pekerjaan mereka turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja.
“Setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan yang ketat,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu (9 Apr).
Encik Abd Jalil berkata setelah tiba di negara itu, mangsa baru menyedari dan merasakan mereka diperdaya.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer.’
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini di Phnom Penh, Kemboja sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” kata beliau.
Sehubungan itu, Encik Abd Jalil berkata PDRM menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji yang lumayan di luar negara bagi mengelakkan orang ramai dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi keuntungan dan kepentingan mereka.
“PDRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat tentang sindiket memperdayakan warganegara Malaysia dan memaksa mangsa menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang di luar negara.
“Sekiranya ada maklumat berkaitan kes ini, orang ramai diminta menyalurkannya di mana-mana balai polis berdekatan,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.