Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

16 tan makanan haiwan dari SG dirampas pihak M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 16 tan makanan haiwan dari Singapura bernilai kira-kira RM326,391 (S$99,000) kerana gagal mengemukakan permit import yang sah. Kejadian tersebut berlaku pada petang Selasa (14 Feb).

Pengarah MAQIS Johor Encik Edie Putra Md Yusof berkata pihaknya menahan sebuah lori yang membawa produk tersebut di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, pada pukul 3.30 petang.

"Hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa MAQIS mendapati makanan haiwan tersebut dibawa masuk tanpa mengemukakan permit import MAQIS yang sah dan telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu (15 Feb).

Encik Edie Putra berkata pemandu lori berkenaan, yang merupakan lelaki warga Malaysia berusia 46 tahun itu bagaimanapun dilepaskan selepas diambil keterangan.

Beliau berkata perbuatan mengimport sebarang keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta yang sama.

Menurut beliau, MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk Malaysia bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian.

MAQIS juga menggesa orang ramai supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam usaha memastikan biosekuriti makanan Malaysia sentiasa terkawal.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan