16 maut selepas bas & lori tangki minyak bertembung di Indonesia
Para penyelamat cuba memadamkan kebakaran selepas nahas libatkan bas penumpang dan lori tangki minyak di Musi Rawas, Sumatera Selatan, 6 Mei 2026. (Gambar: AP)
Kemalangan itu berlaku pada waktu tengah hari di Lebuh Raya Trans-Sumatera, daerah Musi Rawas Utara, wilayah Sumatera Selatan.
Menurut pegawai agensi pengurusan bencana tempatan, Mugono, bas antara bandar yang membawa sekurang-kurangnya 20 orang itu merempuh sebuah lori tangki yang datang dari arah bertentangan.
Siasatan awal menunjukkan bas yang dalam perjalanan dari Lubuklinggau ke Jambi itu mungkin mengeluarkan percikan api sejurus sebelum pertembungan berlaku.
Keadaan itu mungkin menyebabkan pemandu bas cuba membelok ke kanan jalan untuk mengelakkan nahas lebih buruk.
Namun, pada masa yang sama, sebuah lori tangki minyak bergerak dengan laju dari arah depan menyebabkan pertembungan tidak dapat dielakkan.
"Impak yang kuat itu mencetuskan kebakaran besar melibatkan kedua-dua kenderaan, menyebabkan ramai mangsa terperangkap," kata Encik Mugono.
Antara yang terkorban termasuk pemandu bas, 13 penumpang, serta pemandu lori tangki dan pembantunya. Kesemua mereka rentung di dalam kenderaan masing-masing.
Empat penumpang bas terselamat dan dibawa ke klinik berhampiran. Tiga daripadanya melecur teruk, manakala seorang lagi cedera ringan. Pihak berkuasa masih mengemaskini data jumlah sebenar mangsa.
Gambar dan video daripada agensi penyelamat menunjukkan para anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang marak dengan asap hitam yang tebal memenuhi ruang udara. Di lokasi kejadian, rangka bas dan lori tangki terbabit kelihatan rentung, dengan serpihan besi bertaburan di atas lebuh raya.
Pasukan penyelamat dan polis trafik sudah memindahkan para mangsa dan membersihkan bangkai kenderaan.
Ini walaupun usaha itu sukar kerana ada mangsa yang tersepit. Kemalangan ini juga menyebabkan lalu lintas di lebuh raya terganggu.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku di Indonesia disebabkan piawaian keselamatan dan prasarana yang lemah.
Minggu lalu, sebuah kereta api jarak jauh merempuh sebuah kereta api komuter di pinggir Jakarta selepas melanggar sebuah teksi yang rosak di tengah-tengah landasan.
Nahas itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 penumpang wanita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.