Skip to main content

Dunia

16 maut, 546 hilang dalam bencana Tibet: Media China

Anggaran Waktu Membaca:
 16 maut, 546 hilang dalam bencana Tibet: Media China

Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat 2 kilometer dari Pelabuhan Gyirong beberapa hari selepas tanah runtuh pada 26 Ogos yang memusnahkan pelabuhan itu, di Daerah Gyirong, di wilayah Tibet barat China pada 29 Ogos 2026. (Gambar: AFP/CNS)

Diterbitkan : 30 Aug 2026 03:12PM
  • Runtuhan lumpur akibat pecahan glasier di sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos menyebabkan 16 kematian di Tibet dan 546 orang masih hilang, termasuk ramai warga asing.
  • Pihak berkuasa China dan Nepal melaporkan hampir 3,000 orang hilang, dengan usaha menyelamat tertumpu di tapak hidroelektrik Trishuli 3A dan 3B.
  • Pasukan penyelamat menghadapi cabaran besar kerana jalan dan komunikasi terputus di kawasan Himalaya, terutama di pelabuhan Gyirong.
  • Pakar menjangka angka korban akan meningkat kerana ramai mangsa mungkin tertimbus atau dihanyutkan, dan sesetengah mayat sukar ditemui.
Dijana oleh AI
BEIJING: China menyatakan jumlah kematian akibat runtuhan lumpur yang melanda Tibet meningkat kepada 16 orang, manakala 546 orang masih hilang, lapor media negara pada Ahad (30 Ogos), menukil pegawai tempatan.

Gelombang air dahsyat seperti tsunami melanda kawasan sempadan Nepal dan Tibet pada Rabu (26 Ogos) menghanyutkan seluruh kampung.

Perangkaan dari Nepal dan pihak berkuasa China yang bertanggungjawab ke atas Tibet menunjukkan jumlah orang yang hilang hampir 3,000.
Related article image
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat 2 kilometer dari Pelabuhan Gyirong beberapa hari selepas tanah runtuh pada 26 Ogos yang memusnahkan pelabuhan itu, di Daerah Gyirong, di wilayah Tibet barat China pada 29 Ogos 2026. (Gambar: AFP/CNS)
Pihak berkuasa China meningkatkan angka korban di sebelah sempadan mereka daripada tujuh kepada 16 orang pada Ahad dan menyatakan 546 orang masih hilang, lapor penyiar negara CCTV.

Menurut CCTV, daripada jumlah yang hilang, 261 ialah warga asing, termasuk 104 dari Nepal, 49 dari India, 33 dari Latvia dan 18 dari Amerika Syarikat.

Pegawai China turut mengenal pasti punca bencana itu pada Ahad.

Pakar "membuat kesimpulan bahawa sekitar 10.52 pagi (Waktu Beijing) pada 26 Ogos, sebuah glasier di cerun selatan Puncak Lirung di Nepal" pecah, mencetuskan runtuhan ais dan batu, lapor agensi berita Xinhua.
Related article image
Sukarelawan mengedarkan makanan dalam kotak kepada penduduk yang terjejas bencana di tempat perlindungan penempatan semula di kampung Jifu di Daerah Gyirong beberapa hari selepas tanah runtuh pada 26 Ogos yang memusnahkan kampung-kampung di wilayah Tibet barat China, pada 29 Ogos 2026. (Gambar: AFP/CNS)
Dalam perkembangan penting pada lewat Sabtu, tentera Nepal berjaya memasukkan paip ke dalam sebuah terowong di tapak hidroelektrik Trishuli 3A, di mana para pekerja dipercayai terperangkap.

Lebih 100 pekerja mungkin masih hidup dan terperangkap dalam terowong sedemikian, dengan usaha menyelamat tertumpu di tapak Trishuli 3A dan 3B.

Jurang besar antara angka korban dengan jumlah yang masih hilang menyerlahkan cabaran besar yang dihadapi pasukan penyelamat sedang mereka meneruskan usaha ke kawasan sempadan yang musnah.
Related article image
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat 2 kilometer dari Pelabuhan Gyirong beberapa hari selepas tanah runtuh pada 26 Ogos yang memusnahkan pelabuhan itu, di Daerah Gyirong, di wilayah Tibet barat China pada 29 Ogos 2026. (Gambar: AFP/CNS)
Pelabuhan Gyirong terletak jauh di kawasan Himalaya di sepanjang sempadan China dengan Nepal, dan jalan serta komunikasi di pelabuhan itu masih terputus.

Bercakap kepada Mediacorp, pakar tanah runtuh dan profesor Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Nasional Taiwan, Colin Stark, berkata angka sebenar korban mungkin mengambil masa untuk ditentukan.

Prof Stark berkata jumlah serpihan yang sangat besar dibawa banjir berkemungkinan menimbus ramai mangsa, manakala air banjir dan serpihan juga boleh menghanyutkan mangsa sejauh beberapa kilometer ke hilir.

Beliau turut menjangkakan angka korban meningkat dan percaya kebanyakan mereka yang disenaraikan sebagai hilang akhirnya mungkin termasuk dalam kalangan mangsa yang maut.

Ramai mangsa yang maut mungkin tidak dapat disahkan, tambah beliau, kerana sesetengah mayat mungkin mustahil untuk ditemui.
Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita