Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

16 anggota UMNO dipecat selepas fail semakan

16 anggota UMNO yang memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam (20 Apr), dipecat hari ini (21 Apr). Pemecatan mereka berkuat kuasa dengan serta merta.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Apr 2018 06:53PM Dikemas Kini : 21 Apr 2018 09:31PM

PUTRAJAYA: 16 anggota UMNO yang memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam (20 Apr), dipecat hari ini (21 Apr). Pemecatan mereka berkuat kuasa dengan serta merta.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan mereka jelas bertentangan dengan fasal 20.7 perlembagaan UMNO yang menetapkan mana-mana anggota yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keanggotaan secara automatik. 

"Semua 16 orang ini barangkali gunting dalam lipatan, duri dalam daging. Kalau hendak mengkhianati parti lebih baik keluar parti supaya kita boleh kenal siapa musuh kita, daripada duduk dalam parti jadi anai-anai.

"Saya sudah bincang dengan peguam semalam dan semua 16 orang tersebut dipecat. Saya akan keluarkan surat hari ini," kata Tengku Adnan.

DALANG TIDAK PUAS HATI DENGAN UMNO

Beliau percaya tindakan 16 individu tersebut didalangi pihak luar yang tidak berpuas hati dengan UMNO.

"Saya tahu apa yang berlaku kerana puak-puak belah (di sebelah) pembangkang kononnya hendak buat 'tit-for-tat' (balas dendam). Dia tidak boleh jaga parti dia yang ada masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan dia tahu dia lemah dan akan kalah, jadi dia buat pelbagai onar," kata Tengku Adnan.

Semalam (20 Apr), 16 anggota UMNO itu mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan UMNO sebagai parti politik kerana menangguhkan pemilihan parti.

Tengku Adnan berkata tuduhan itu tidak berasas memandangkan beliau selaku Setiausaha Agung UMNO meminta RoS untuk menangguhkan pemilihan sehingga April 2019.

"Kalau RoS tidak beri (kelulusan), kita sudah lakukan (pemilihan parti)," katanya.

Tengku Adnan berkata laporan sebuah portal berita kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh menandatangani surat watikah untuk calon parti itu bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) susulan pemfailan semakan kehakiman itu juga adalah tidak benar.

SENARAI CALON DIUMUMKAN MULAI 22 APR

"Tiada masalah. Kita mengikut perlembagaan dan kita akur dengan undang-undang yang ditetapkan oleh RoS," kata beliau.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan oleh pengerusi BN negeri masing-masing mulai esok (22 Apr) hingga Selasa.

Perkara itu dimaklumkan kepada semua negeri BN, kata beliau, dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman dalam tempoh yang ditetapkan itu. 

"Bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, pengumuman calon dan manifesto akan dibuat pada 9.00 pagi esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.

Tengku Adnan berkata beliau juga menerima keputusan saringan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi terhadap semua calon yang dipilih untuk mewakili BN pada PRU14.

WAJAH BARU DALAM SENARAI CALON

Di Kota Bahru, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata senarai calon BN Kelantan dijangka diumumkan pada Isnin (23 Apr).

Walaupun senarai itu sudah dimuktamadkan di peringkat pusat, Encik Mustapa berkata beliau belum melihat sendiri senarai yang diperakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

"Dalam senarai tersebut akan ada calon muka baru mungkin 30 hingga 40 peratus daripada senarai calon keseluruhan," katanya selepas majlis Pemimpin Bersama Penolong Pegawai Perubatan sempena Hari Pembantu Perubatan peringkat Negeri Kelantan 2018 hari ini (21 Apr).

Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan