150 notis dikeluarkan terhadap perokok di Selangor
Sebanyak 150 notis kesalahan dengan nilai kompaun bernilai RM30,750 (S$10,117) dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) terhadap perokok dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok yang dijalankan ke atas 562 premis di negeri itu sejak Rabu lalu.
(Gambar: Bernama)
SHAH ALAM: Sebanyak 150 notis kesalahan dengan nilai kompaun bernilai RM30,750 (S$10,117) dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) terhadap perokok dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok yang dijalankan ke atas 562 premis di negeri itu sejak Rabu lalu.
Pengarah JKNS Dr Khalid Ibrahim berkata tujuh daripada notis kesalahan itu dikeluarkan terhadap golongan perokok bawah 18 tahun dengan satu notis melibatkan pemilikan rokok elektronik.
Selain itu katanya, sebanyak 20 notis kesalahan dengan kompaun berjumlah RM5,000 (S$1,645) turut dikeluarkan ke atas pemilik premis makanan melibatkan 18 notis kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok dan dua lagi kerana menyediakan kemudahan merokok.
"Operasi penguatkuasaan larangan merokok sehingga sehingga semalam dilakukan di semua tempat makan termasuk tempat makan terbuka mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.
"Sementara bagi pemilik premis pula, penguatkuasaan dijalankan mengikut Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b) PPKHT 2004 dan di bawah peraturan itu mereka perlu mempamerkan larangan merokok secara jelas, memastikan premis mereka bebas daripada aktiviti merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Khalid berkata perokok yang menerima notis kesalahan itu perlu membayar kompaun berjumlah RM250 (S$82) manakala bagi perokok bawah 18 tahun, RM50 (S$16.45).
Katanya bagi kesalahan pertama, jumlah kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 (S$49.35) jika perokok membuat bayaran di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh notis kesalahan dikeluarkan.
"Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan sebaliknya, jumlah lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 (S$115) dikenakan ke atas perokok sehingga Jun depan. Malah, bermula Julai depan pula, tiada lagi tawaran kompaun sebaliknya tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil," katanya.
Beliau turut memohon kerjasama daripada semua pihak supaya sentiasa mematuhi peraturan larangan merokok yang dikuatkuasakan kerajaan demi memastikan kesihatan masyarakat terus terjamin.
Dr Khalid berkata bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti daripada tabiat tidak sihat itu, mereka dinasihat mendapatkan perkhidmatan 'mQuit' di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara serta di kemudahan swasta yang diberikan pentauliahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.