Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

15 orang maut akibat tanah runtuh, banjir di Sulawesi Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 15 orang maut akibat tanah runtuh dan banjir di bahagian tengah Indonesia, yang menghanyutkan puluhan rumah dan memusnahkan jalan raya.

Demikian menurut agensi bencana negara tersebut pada Sabtu (4 Mei).

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh ketika musim hujan. Masalah tersebut lebih buruk lagi di beberapa kawasan disebabkan kegiatan pembasmian hutan, dengan hujan lebat berlarutan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara itu.

Tanah runtuh melanda kabupaten Luwu di Sulawesi Selatan pada Jumaat (3 Mei), sejurus selepas pukul 1.00 pagi, kata Abdul Muhari, jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia.

"Sebanyak 14 penduduk maut akibat banjir dan tanah runtuh di kabupaten Luwu, wilayah Sulawesi Selatan," katanya.

Agensi tersebut menyatakan lebih daripada 100 rumah rosak dan 42 dihanyutkan, manakala empat jalan dan satu jambatan rosak.

Lebih 100 orang dipindahkan ke masjid atau rumah saudara mara, manakala lebih 1,300 keluarga terjejas. Pihak berkuasa sedang membantu memindahkan mereka.

Banjir yang berlaku pada pagi Jumaat di kabupaten Luwu menjejas lebih daripada 1,300 keluarga dan merosakkan 1,8000 rumah. Manakala paras air sudah mula surut di beberapa kawasan, tambah agensi itu.

Di kawasan lain di wilayah Sulawesi Selatan, sekurang-kurangnya satu orang maut dan dua lagi cedera ketika banjir pada Jumaat, kata Encik Abdul dalam kenyataan berasingan.

Pada Mac, banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera meragut 30 nyawa dengan ramai lagi hilang.

Pada Disember lalu, tanah runtuh dan banjir memusnahkan sebuah hotel berdekatan Danau Toba, dengan sekurang-kurangnya dua orang maut.

Indonesia mengalami beberapa fenomena cuaca melampau pada musim hujan sejak kebelakangan ini. Pakar berkata bahawa kekerapan cuaca sedemikian berpunca daripada perubahan iklim.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan