Skip to main content

Dunia

15 maut dalam tragedi trem Lisbon

Anggaran Waktu Membaca:
15 maut dalam tragedi trem Lisbon

Pasukan kecemasan di tapak kereta kabel elektrik yang tergelincir di Lisbon, Portugal pada 3 Sep 2025. (Gambar: AP/Armando Franca)

Diterbitkan : 04 Sep 2025 08:05AM Dikemas Kini : 04 Sep 2025 08:34AM
LISBON: Sekurang-kurangnya 15 maut manakala 18 yang lain cedera selepas trem bersejarah, Elevador da Gloria di ibu negara Portugal tergelincir dan merempuh bangunan berhampiran pada Rabu (3 Sep).

Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti atau kerakyatan mangsa, namun mengesahkan sebahagian daripadanya adalah pelancong asing.

“Hari ini adalah hari yang tragis buat bandar kami. Lisbon sedang berkabung. Ia satu insiden yang amat menyedihkan,” kata Datuk Bandar Carlos Moedas kepada para wartawan di tempat kejadian.

Rakaman di tempat nahas menunjukkan trem berwarna kuning remuk selepas merempuh bangunan, sedang pasukan bomba berusaha untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap.

Pasukan kecemasan bekerja hingga larut malam untuk membersihkan runtuhan di laluan bukit curam yang menjadi tarikan utama di bandar bersejarah itu.

Presiden Portugal Marcelo Rebelo de Sousa menyampaikan ucapan takziah dan menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi.

Menurut Rejimen Bomba Lisbon, kejadian berpunca daripada kabel yang longgar sehingga menyebabkan trem berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh bangunan.

Nahas itu berlaku sekitar pukul 6.00 petang (waktu tempatan), ketika waktu sibuk.

Ikon bandar itu sejak 1885,
Elevador da Gloria, yang mula beroperasi pada 1885, menghubungkan daerah Baixa dengan kawasan Bairro Alto yang terkenal dengan pemandangan indah bandar Lisbon.

Ia dikendalikan oleh syarikat pengangkutan awam Carris dan merupakan salah satu daripada tiga laluan trem bersejarah yang masih beroperasi, digunakan oleh penduduk tempatan dan pelancong.

Imej yang tular di media sosial menunjukkan sebuah trem terbalik di sisi landasan dengan serpihan berselerakan, sedang penumpang bertempiaran menyelamatkan diri.

Rakaman video CNN Portugal turut menunjukkan sebuah lagi trem bergegar kuat di landasan sebelum penumpang panik melompat keluar melalui tingkap.

Lisbon menyaksikan lonjakan kedatangan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama semasa musim panas, dengan jalan-jalan sempit dan kawasan bersejarah menjadi tumpuan.

Elevador da Gloria merupakan antara daya tarikan paling ikonik di ibu negara itu, dan nahas pada Rabu (3 Sep) disifatkan sebagai salah satu tragedi pengangkutan paling buruk dalam sejarah moden Portugal.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita