Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

15 maut akibat serangan udara Rusia di Donetsk

Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan lima lagi cedera akibat serangan udara Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
15 maut akibat serangan udara Rusia di Donetsk

Seorang penduduk tempatan mengangkut barangan beliau keluar dari bangunan yang separa musah, menyusli serangan udara di Chasiv Yar, timur Ukraine, pada 10 Julai 2022. (Gambar: AFP)

DONETSK: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan lima lagi cedera akibat serangan udara Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Lima mangsa yang cedera berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan lima tingkat di bandar Chasiv Yar, lapor Agensi Berita Ukraine Ukrinform, memetik kenyataan ketua Pentadbiran Tentera Wilayah Donetsk, Pavlo Kyrylenko, pada Ahad (10 Jul).

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 15 orang maut tertimbus di bawah runtuhan bangunan itu.

Empat peluru berpandu yang dilancarkan Rusia membedil penempatan Pivdenny di selatan Chasiv Yar, kira-kira 30 kilometer dari Donetsk.

Serangan berlaku pada Sabtu, 9.17 malam waktu tempatan, kata Oleg Kirnitskiy dari Pusat Media Polis Wilayah Donetsk.

Encik Kirnitskiy berkata operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di sekitar runtuhan di Jalan Yujnaya.

"Dua mangsa cuba mendapatkan bantuan dari bawah runtuhan pada waktu pagi," katanya sambil menambah sekitar 35 orang termasuk seorang kanak-kanak masih terperangkap di bawah runtuhan.

Dipercayai empat roket jenis Uragan, senjata yang dilarang digunakan di kawasan awam, telahpun digunakan dalam serangan itu, kata Encik Kirnitskiy.

Hampir 4,900 orang awam terbunuh di Ukraine sejak operasi ketenteraan bermula pada 24 Februari menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih 15 juta rakyat Ukraine terpaksa meninggalkan rumah mereka, termasuk lebih 8.4 juta yang melarikan diri  ke negara lain.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan