Skip to main content

Dunia

149 keluarga mangsa banjir di Pontian terima rumah baru percuma jelang Aidiladha

Anggaran Waktu Membaca:
PONTIAN; Seramai 149 keluarga dari tiga kampung di daerah Pontian yang berdepan dengan masalah banjir dan air laut pasang, menerima rumah baru secara percuma di Taman Dato' Hajjah Fatimah Salim, Pontian.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kesemua keluarga yang bakal mendiami rumah baru itu adalah dari Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Sungai Sanglang.

"Sudah berpuluh tahun mereka (penduduk dari tiga kampung) diduga ujian banjir dan hari ini mereka terima set kunci rumah, tahniah dan syabas. Saya mohon supaya jagalah taman ini dengan baik dan syukur Aidiladha ini anda dapat beraya di rumah baru," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rumah dan Notis 5A rumah berkenaan di Dewan Serbaguna Benut di Pontian pada Ahad (18 Jun).

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Ahmad Maslan, Ahli Dewan Undangan Negeri Benut Hasni Mohammad dan Pegawai Daerah Pontian Zainal Eran.

Encik Onn Hafiz berkata premium tanah projek perumahan berjumlah RM38 juta (S$11 juta) dengan setiap rumah dianggarkan bernilai RM150,000 (S$44,000) itu dibiayai oleh kerajaan negeri sebanyak 80 peratus, manakala 20 peratus lagi oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi minta supaya kerajaan negeri pertimbangkan 80 peratus (bayaran) premium tanah bagi waiver kelulusan. Tidak cukup dengan itu, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagi pula waiver kelulusan dengan tidak perlu bayar 20 peratus lagi. 

"Jadi dari segi premium tanah, ia adalah percuma 100 peratus dan ini satu perkara cukup baik dan satu kelegaan kepada kesemua penerima… bukan sahaja premium tanah percuma malah rumah pun (diberikan) percuma. Terima kasih Timbalan Perdana Menteri," katanya sambil turut memberi penghargaan kepada Encik Ahmad Zahid dan Encik Hasni yang memperjuangkan usaha membangunkan perumahan itu.

Taman Dato' Hajjah Fatimah Salim yang menyediakan 170 unit rumah jenis berkembar dengan keluasan tapak 2,450 kaki persegi itu dibina di tanah kerajaan negeri milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor dengan projek pembinaan bermula 16 Mei 2017 dan siap sepenuhnya pada Ogos tahun lepas.

Antara kemudahan awam yang disediakan di projek penempatan semula mangsa banjir, air pasang termasuk setinggan nelayan serta golongan miskin tegar sekitar Benut itu adalah surau, dewan dan tadika.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita