Skip to main content

Dunia

140 maut, lebih 100 hilang angkara Taufan Kalmaegi di Filipina

Taufan Kalmaegi mengorbankan sekurang-kurangnya 140 orang, dengan lagi 127 masih dilaporkan hilang, selepas menyebabkan banjir besar di wilayah tengah Filipina, menurut angka rasmi pada Khamis (6 Nov), sedang taufan tersebut menuju ke arah Vietnam.
Anggaran Waktu Membaca:
140 maut, lebih 100 hilang angkara Taufan Kalmaegi di Filipina
Kenderaan yang dihanyutkan banjir besar akibat Taufan Kalmaegi dilihat di sebuah kawasan perumahan di Bacayan, Cebu, Filipina, pada 5 November 2025. (Gambar: REUTERS/Eloisa Lopez)
CEBU: Taufan Kalmaegi mengorbankan sekurang-kurangnya 140 orang, dengan lagi 127 masih dilaporkan hilang, selepas menyebabkan banjir besar di wilayah tengah Filipina, menurut angka rasmi pada Khamis (6 Nov), sedang taufan tersebut menuju ke arah Vietnam.

Pejabat Pertahanan Awam Filipina mengesahkan 114 kematian dilaporkan, namun angka itu tidak termasuk 28 lagi kematian yang direkodkan oleh pihak berkuasa wilayah Cebu.

Kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah tengah Cebu, yang dilanda Kalmaegi pada Selasa (4 Nov), menyebabkan banjir kilat dan limpahan sungai serta saluran air lain, kata timbalan pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Bernardo Rafaelito Alejandro IV.

Kalmaegi bergerak keluar dari wilayah Palawan di barat menuju ke Laut China Selatan sebelum tengah hari Rabu dan sedang menghala ke arah Vietnam, menurut jabatan kaji cuaca.

Antara yang terkorban termasuk enam individu yang terbunuh apabila sebuah helikopter tentera udara Filipina terhempas di wilayah selatan Agusan del Sur pada Selasa. Ketika itu, para anak kapal sedang dalam perjalanan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada wilayah-wilayah yang terjejas akibat Kalmaegi, menurut pihak tentera. Punca nahas masih belum didedahkan secara rasmi.

WILAYAH TENGAH PALING TERUK TERJEJAS

Menurut pihak berkuasa wilayah, Kalmaegi menyebabkan banjir kilat dan limpahan sungai serta saluran air lain. Banjir besar itu menenggelamkan kawasan perumahan, memaksa penduduk memanjat bumbung rumah sambil merayu untuk diselamatkan sedang air terus naik, menurut para pegawai tempatan.

Sekurang-kurangnya 71 orang maut di Cebu, kebanyakannya lemas, manakala 65 lagi dilaporkan hilang dan 69 yang lain cedera, menurut Pejabat Pertahanan Awam.

Lagi 62 dilaporkan hilang di wilayah tengah Negros Occidental, yang terletak berhampiran Cebu.

“Kami telah melakukan yang terbaik untuk menghadapi taufan ini tetapi, seperti yang anda tahu, ada perkara yang tidak dijangka seperti banjir kilat,” kata Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro, kepada The Associated Press melalui telefon.

Penyelamat relawan, Caloy Ramirez, berkata banjir besar yang dicetuskan oleh taufan itu menukar kawasan perumahan mewah yang terletak berhampiran sungai di bandar Cebu menjadi huru-hara Selasa lalu — dengan kenderaan SUV dihanyutkan dan rumah berselerak.

Para penduduk berkata air banjir menenggelamkan tingkat bawah rumah mereka dalam masa hanya beberapa minit, memaksa mereka naik ke tingkat atas atau bumbung dalam keadaan panik.

“Kami sentiasa bersedia menghadapi keadaan terburuk, dan apa yang saya lihat semalam memang adalah yang paling teruk,” kata Ramirez kepada AP. Beliau menggambarkan bagaimana wajah penduduk yang cemas bertukar lega apabila menyedari bahawa mereka sedang diselamatkan.

KEBIMBANGAN TERHADAP PROJEK KAWALAN BANJIR

Masalah tersebut mungkin diburukkan lagi oleh kegiatan kuari selama bertahun-tahun yang menyebabkan sungai berhampiran terjejas dan melimpah, serta pelaksanaan projek kawalan banjir yang tidak mematuhi piawai di wilayah Cebu, kata Cik Baricuatro.

Skandal rasuah melibatkan projek kawalan banjir yang dieprcayai tidak berkualiti atau tidak wujud di seluruh Filipina mencetuskan kemarahan awam dan bantahan di jalan raya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Cebu, wilayah padat yang menampung lebih 2.4 juta penduduk, mengisytiharkan keadaan darurat bagi membolehkan pihak berkuasa menyalurkan dana kecemasan dengan lebih pantas.

Wilayah itu masih dalam proses pemulihan berikutan gempa bumi sekuat 6.9 magnitud pada 30 September yang meragut sekurang-kurangnya 79 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk berpindah selepas rumah mereka runtuh atau rosak teruk.

Ribuan penduduk di utara Cebu yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi itu turut dipindahkan ke pusat perlindungan yang lebih kukuh berbanding khemah-khemah sementara sebelum taufan melanda, kata Cik Baricuatro. Beliau menambah bahawa kawasan utara yang musnah akibat gempa bumi kebanyakannya tidak terjejas oleh banjir yang dicetuskan oleh Kalmaegi.

VIETNAM DAN THAILAND

Sebelum Kalmaegi melanda, para pegawai berkata lebih 387,000 orang sudahpun dipindahkan ke kawasan lebih selamat di wilayah timur dan tengah Filipina.

Perkhidmatan feri dan bot nelayan turut dilarang keluar ke laut selepas laut semakin bergelora, menyebabkan lebih 3,500 penumpang dan pemandu lori kargo terkandas di hampir 100 pelabuhan, menurut pasukan pengawal pantai.

Sekurang-kurangnya 186 penerbangan domestik turut dibatalkan.

Filipina dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun. Negara itu juga sering mengalami gempa bumi dan mempunyai lebih 12 gunung berapi aktif, menjadikannya antara negara paling terdedah kepada bencana di dunia.

Bahagian tengah Vietnam, yang masih bergelut dengan kesan hujan lebat selama beberapa hari yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh, kini bersiap sedia untuk menghadapi hujan lebat seterusnya, dengan Kalmaegi semakin menghampiri.

Bot-bot nelayan sudah pulang ke pantai manakala pihak berkuasa tempatan bersiap sedia dengan rancangan pemindahan, menyediakan tempat perlindungan dan menyimpan bekalan makanan, lapor media negara itu.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita